Sunday, August 29, 2010

Cetusan Rasa Hati:Berdasar kepada pemerhatian dan pengalaman

Kali ini saya teringat untuk mencatatkan beberapa pandangan peribadi yang mungkin agak kontraversi kepada sesetengah orang tetapi saya fikir tidaklah sampai kepada tahap 'sedition'. Saya hanya warga biasa yang mencintai keamanan dalam negara tetapi saya juga punyai hak untuk mempunyai pandangan dan pendapat sendiri.
Perkara-perkara yang saya selalu terfikir ialah:-

1. Budaya feudal terlalu kuat dan meresap dalam masyarakat. Budaya mempersoal dan tidak bersetuju dengan boss dianggap sebagai sifat kurang ajar dan tidak menghormati orang yang lebih tua. Oleh itu kita hendaklah diam dan 'just do it'. Pada saya budaya ini adalah budaya 'robot' yang akan melahirkan masyarakat bodek,hipokrit, hanya berani bercakap di belakang-belakang, mengumpat dan sebagainya. Alhamdulillah budaya ini  jarang berlaku dalam masyarakat di tempat saya.Ini di tempat lain.

2. Budaya terlalu cerewet.Semasa saya di Sarawak beberapa tahun dahulu ramai teman-teman daripada  negeri lain yang terlalu banyak bersungut tentang beberapa perkara seperti makanan yang kononya tidak sedaplah, orang Sarawak terlalu banyak menggunakan ajinomotolah, orang Sarawak tidak menyukai orang Malayalah dan macam-macam lagi. Sewaktu saya di luar negara dulu iaitu di negara antah berantah, kawan-kawan juga bersungut kerana kononnya orang di sana kotorlah, kurang pandailah,tiada kemudahan seperti di negara sendiri dan macam-macam lagi .Jarang sekali mereka berbincang mengenai kelebihan yangdimiliki oleh negara tersebut.

3. Pada masa kini  saya dapati  dalam masyarkat kita terlalu banyak yang mendapat anugerah dan gelaran seperti  Dato', Datuk,Datuk Seri,Datuk Paduka,Tan Sri dan sebagainya.Fenomena ini telah menghasil satu kelas dalam masyarakat yang harus mendapat layanan VIP/VVIP dengan menu makanan yang  istimewa dan tidak sama dengan orang lain.Tempat duduk tidak lagi bercampur dengan orang marahen.  Pada saya fenomena ini bukan sahaja mengwujudkan jurang dalam masyarakat tetapi juga kadang-kadang akan melahirkan kumpulan yang agak bongkak dengan gelaran dan kekayaan. Kalau ini dikata akan mengwujudkan satu bentuk penghormatan dan perasaan gerun  kepada seseorang  pada saya tidak betul kerana penghormatan kepada seseorang akan lahir secara semula jadi berdasarkan sifat dan keperibadian seseorang itu. Saya berpengalaman menjadi Jawatan Kuasa Kecil Sambutan Hari Raya Malaysia di Sarawak yang pada saya program ini mempunyai tujuan luhur dan murni tepai bayangkanlah kalau orang biasa dihidang dengan makan yang 'ditapau' dan terpaksa berebut-rebut pula  dan makan sambil berdiri dan sudah pasti tidak wujud apa yang dikatakan keselesaan manakala 'the so called VIP/VVIP makan dengan menu yang 'special' di khemah dan cukup selesa dengan kerusi dan meja yang beralas cantik maka tidak hairanlah apabila keesokan harinya saya terdengar seorang wanita biasa yang berkata 'alah menteri saja makan sedap'.

4. Budaya terlalu menjaga tepi kain orang dan 'busy body'.Di taman perumahan saya, fenomena ini sering terjadi.Memang eloklah kalau budaya kampung seperti gotong royong dibawa dan diamalkan di bandar tetapi yang tidak saya bersetuju adalah menuduh  dan melabel orang yang jarang turun dan bercampur  sebagai anti sosial sedangkan orang itu mempunyai keperibadian tersendiri. Jiran saya seorang jurutera software mempunyai sikap yang pendiam dan jarang berbual tetapi sebenarnya beliau baik dan yang paling penting tidak pernah mengganggu orang lain. Apa yang berlaku ialah kawan-kawan selalu bercakap di belakang-belakang tentang si mamat ini walhal si mamat ini tidakpun pernah menganggu mereka. Pada saya setiap seorang daripada kita mempunyai hak untuk mengekalkan perwatakan sendiri  kerana kita membeli rumah dengan wang kita sendiri. Bayaran bulanan masing-masing buat.Jadi sepatutnya orang lain tidak terlalu memaksa seorang itu atas nama untuk  'memasyarakatkan' untuk keluar berbual-bual dan masak memasak. Kebebasan adalah hak peribadi.Tidak perlu ada 'moniteering' dan paksaan.

Saturday, August 28, 2010

Keadilan Dalam Mentafsir Sejarah- Pengenalan

Sejarah adalah peristiwa atau kejadian  yang telah berlaku  yang membawa impak kepada masyarakat dan negara. Sesuatu kejadian atau peristiwa tidak akan menjadi sejarah sekiranya tidak ada pihak atau sejahrawan yang mentafsirkannya sama ada dalam bentuk catatan,penulisan mahupun terbitan. Sejahrawan akan menghuraikan sebab musabab dan watak-watak yang memainkan peranan agar masyarakat menjadikan sejarah sebagai panduan dan pengajaran. Oleh kerana pentingnya peranan sejahrawan dalam mentafsirkan sesuatu peristiwa dan kejadian maka kesilapan dalam sesuatu tafsiran akan membawa kesan yang besar kepada masyarakat. Tidak harus berlaku  sejahrawan mentafsir sejarah mengikut kepentingan peribadi dan kehendak pihak tertentu kerana  mereka sebenarnya menzalimi sejarah itu sendiri. Dalam mentafsir sejarah mereka tidak seharusnya menyembunyikan sesuatu kebenaran dan tidak sepatutnya menafikan peranan pihak lain yang juga memainkan peranan dan turut mewarnai pensejahrahan itu sendiri.Pendek kata tafsiran hendaklah adil, seimbang dan mengambil kira peranan semua pihak yang perlu diambi kira.Masyarakat mempunyai hak untuk mempersoal dan  mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Tafsiran sejarah atas kepentingan nasionalisma sempit semata-mata lazimnya akan membawa kepada konklusi yang berat sebelah.Apabila peranan dan sumbangan sesuatu pihak itu cuba disembunyikan dan dinafikan maka akan menghasilkan masyarakat yang tidak menghargai sejarah. ..anak saudara saya yang merupakan seorang pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi pernah berkata kepada saya bahawa beliau merasa bosan dengan mata pelajaran sejarah kerana bersifat 'brainwash'.

Monday, August 23, 2010

Raya-Balik Kampong

Kami sekeluarga sudah berada di perantauan hampir suku abad . Walaupun sudah memiliki rumah di Bandar Baru Bangi dan dua daripada anak lahir di Kuala Lumpur  namun saya masih menganggap diri ini berada di perantauan. Saya berkata demikian mungkin kerana ketiadaan adik beradik dan sanak saudara yang berdekatan. Mungkin  ini juga bertolak daripada perasaan tidak puas menikmati keindahanan alam negeri sendiri. Maklumlah sewaktu di bangku sekolah menengah dan ketika mula-mula keluar universiti kemampuan untuk berjalan-jalan di negeri sendiri agak terbatas oleh kekangan kewangan dan ketiadaan kenderaan.Lagipun selepas dua tahun 'grade' saya menerima tawaran bekerja di tempat orang, jadi tempoh berada di negeri yang terindah itu terlalu singkat rasanya. Isteri pula telah berada di Negeri Penyu semenjak usia muda jambu  lagi iatu dalam tingkatan 1.Bagaimanapun perasaan rindu kepada negeri sendiri ini hanya perasaan saya seorang kerana anak-anak rasanya lebih suka di sini.Mereka membesar dan ada yang lahir di sini.Loghatpun loghat  Kuala Lumpur.Isteri pula hendak menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai kampong sendiri.Maksudnya apabila anak-anak nanti telah berkahwin dan sudah mempunyai anak maka rumah di Bandar Bangi itulah yang menjadi rumah untuk mereka pulang  berkumpul sama ada semasa cuti perayaan ataupun pada bila-bila masa yang mereka suka.

Pun begitu saya tetap teringin untuk menetap di negeri kelahiran sendiri apabila pencen kelak. Hampir 30 tahun dahulu semasa belajar di Kota Kinabalu hanya sekali saya tidak pulang berhari raya di kampong kerana terlalu obsessed dengan peperiksaan SPM yang akan diadakan selepas Hari Raya. Saya tinggal seorang di rumah.Pada waktu itu  saya menetap dengan kakak. Tahun-tahun lain saya tidak pernah  'missed' beraya di kampong.Kampong saya tidaklah jauh benar,hanya 48 kilometer dari Kota Kinabalu tetapi kerana pada masa itu jalanraya melalui bukit gunong maka perjalanan yang berliku-liku akan mengambil masa lebih 2 jam.Sekarang telah ada jalan baru yang bagus dan perjalanan hanya sejam atau lebih sahaja. Apabila berkeluarga dan menetap di tempat orang boleh dikatakan pada tiap-tiap tahun kami akan pulang ke kampong.Bab inilah yang agak menarik kerana masing-masing tidak beralah.Kampong mana yang hendak didahulukan.Saya sudah tentu mahu pulang ke kampong saya sendiri. Isteri pula dalam diam-diam 'prefer' kampong sendiri.Biasanya masalah ini dapat diselesaikan kerana isteri saya terlalu matang dan sporting.Tambahan pula dia ni disukai dan diterima oleh keluarga saya.Dia tidak kekok dan merasa seronok pula.

Pada tahun ini,kami sekeluarga bercadang untuk pulang ke kampong.Dari awal kami telah bersetuju untuk balik ke kampong saya dahulu kerana biasanya adik-beradik saya berada di kampong pada hari raya pertama dan kedua sahaja.Selepas itu mereka akan pergi ke rumah mentua masing-masing pula.Adik beradik isteri pula tinggal berdekatan dan tidak adalah masalah untuk tidak dapat berjumpa dan bermaaf-maafan.Sebenarnya sudah tiga tahun  kami tidak pulang beraya ke kampong.Selepas menjadi yatim piatu ini perasaan berkobar-kobar untuk balik berhari raya ini agak berkurangan.Saya ada bertanya kawan-kawan.Mereka kata ini perkara biasa. Moga kepulangan kali ini dapat mengembalikan nostalgia lama,dapat bertemu dengan saudara-mara yang hampir tidak dicam wajah mereka.Anak-anak saudara yang dulu masih merangkak dan menginsut kini telahpun punyai anak.Dan yang paling penting dapat menziarahi kubur arwah emak,arwah bapa dan arwah bapa mertua.

Friday, August 20, 2010

Tentang Kuda

Sahabat baik saya merupakan seorang peminat dan pencinta bintang bernama KUDA. Maksud saya,  beliau aktif dalam aktiviti menunggang kuda.Buktinya beliau ada menyertai kelas menunggang kuda dan turut membuka blog khusus mengenai kuda. Pada satu ketika kami pernah berbincang mengenai kuda tetapi terus terang saya kata,pengetahuan dan pengalaman saya mengenai kuda terlalu sedikit.

Meskipun saya berasal dari daerah Kota Belud yang memang terkenal dengan ternakan kuda selain haiwan lain seperti lembu dan kerbau tetapi malangnya saya bukan berasal daripada keluarga penternak kuda.Yang kami ada hanyalah kerbau dan lembu untuk kegunaan bersawah, pengangkutan,sebagai barang hantaran untuk perkahwinan, kenduri kendara ataupun dijual apabila kesempitan wang. Untuk makluman, Kota Belud mempunyai kawasan padang ragut yang terbesar di Sabah. Ternakan-ternakan ini biasanya dibiarkan hidup bebas lepas tetapi jangan salah anggap kerana setiap ternakan itu mempunyai tuan masing-masing yang mengenali binatang ternakan mereka berdasarkan tanda ditelinga yang unik.Pada masa binatang milik mereka masih kecil, proses membuat tanda ditelinga dilakukan.Dengan menggunakan pisau tajam,telinga binatang tersebut di 'potong' atau ditindik yang biasanya sekadar satu carikan yang unik.Kalaupun binatang itu dibiarkan lepas berkeliaran tetapi tuan punya boleh mengenali berdasarkan bentuk tindikan tersebut. Di kampung saya, pada masa dahulu kekayaan adalah berdasarkan kepada jumlah binatang ternakan yang dimiliki oleh setiap keluarga. Tadi saya ada menyatakan bahawa keluarga kami bukan penternak kuda. Saya hanya merasa pengalaman menunggang kuda pada tahun 1994 ketika berada di Brastagi di  Medan di mana bersama rakan-rakan membayar beberapa ribu rupiah  resort di sana semata-mata mahu merasai pengalaman  menunggang kuda.Itulah pertama kali saya menunggang kuda. Sebab utama keluarga saya tidak melibatkan diri dalam penternakan kuda mungkin kerana kuda sering dikaitkan dengan aktiviti judi melalui acara  perlumbaan kuda yang waktu itu bukan sahaja diadakan di Kota Kinabalu tetapi juga di kampong berhampiran.Bayangkanlah acara ini diadakan pada petang jumaat!  dan garisan penamat pula tidak jauh daripada balai raya dan surau! Dalam acara ini pertaruhan wang ringgit diadakan. Saya berani kata bahawa selain orang Bajau, orang Irranun seperti orang Boyan  di Semenanjung adalah penternak kuda yang handal.Mereka juga terlibat sebagai joki. Mereka sering ditemui di Kelab Lumba Kuda Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang diadakan setiap hujung minggu. Kerap kali yang baru balik haji dan memakai ketayap pun turut menghadiri pertemuan mingguan ini.Saya tidak berani menuduh mereka berjudi tetapi kerana saya sendiri ketika zaman remaja pernah  berjumpa mereka menonton perlumbaan berkenaan.

Ramai orang salah faham apabila mengatakan  kuda Kota Belud adalah kuda padi atau 'pony' kerana kononnya saiznya kecil.Saya menafikan 'notion' ini kerana rata-rata kuda yang diternak bersaiz besar walaupun tidaklah sebesar saiz kuda dari baka Arab dan Australia tetapi cukup besar dan tinggi untuk tidak dipanggil kuda padi. Selain diternak untuk tujuan perlumbaan, kuda juga digunakan sebagai binatang pengangkutan sama ada hanya sebagai tunggangan individu  atau bersama barangan tertentu.  Saya tidaklah pernah mendengar kuda dijadikan barangan hantaran peminangan  seperti kerbau dan lembu. Oleh kerana boleh berlari pantas, kuda juga sering digunakan untuk mengejar dan menangkap binatang lain yang masih belum jinak termasuk kerbau dan lembu samaada untuk membuat tanda telinga atau untuk tujuan dibawa ke Tamu Kota Belud untuk dijual. Penunggang kuda dengan tali yang diletakkan pada sebatang buluh panjang dengan 'kepala tali' yang sedia terbuka akan mengejar binatang yang telah dikenal pasti dan dengan menggunakan kemahiran menunggang  sipenunggang mengejar dan akan memastikan 'kepala tali' itu mengenai kepala dan leher binatang yang dikejar. Selain itu, kuda juga digunakan sebagai kenderaan yang dinaiki oleh pengantin dalam upacara perkahwinan.Kuda tersebut akan dihias seluruh badan dengan kain yang berwarna-warni dan bunyi-bunyian di kaki.

Pernah satu ketika pada awal tahun 1970an berlaku satu peristiwa hebat di Hospital Daerah Kota Belud ( Bangunan lama di atas bukit yang sekarang ini telah dirobohkan) apabila seorang bapa yang marah di atas kematian anaknya datang dengan menunggang kuda dan parang terikat di pinggang untuk mencari seorang doktor yang beliau dakwa telah menyebabkan kematian anaknya. Doktor tersebut telahpun disembunyikan oleh kakitangan hospital. Pada masa itu arwah abang saya bertugas sebagai 'dresser' hospital tersebut.Keadaan jadi kecoh dan kelam kabut  namun dapat diselesaikan tanpa sebarang kejadian buruk berlaku.

Mengenai kuda sebagai sumber makanan, saya tidaklah punyai pengalaman ataupun merasai daging kuda.Saya juga tidak pernah melihat kuda disembelih apalagi melihat dagingnya. Namun begitu di Kampong berhampiran iatu kalau tidak silap di Kampong Taun Gusi diberitakan mereka seringkali  menyembelih kuda.Khabarnya daging kuda agak pejal dengan  'texture' yang besar serta liat.Agaknya disebabkan oleh sifat dan fizikalnya yang sentiasa aktif berlari dan berlumba.  Daging kuda ini tidak pula dijual di tamu atau pasar kemungkinan kerana tidak ramai peminatnya. Kepada sahabat saya peminat kuda yang tegar ini saya persilakan untuk berkunjung ke daerah Kota Belud untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuda.Saya boleh bantu dengan bersyarat....hehehe



Thursday, August 19, 2010

Sabah Dalam Malaysia

Dengan keluasan hampir 70000 km persegi, Sabah atau North Borneo pada satu ketika dahulu merupakan negeri kedua terbesar di dalam Persekutuan Malaysia selepas Sarawak.Kalau digabung kedua-dua negeri ini sudah tentu ianya lebih luas dan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.Pada masa sekarang penduduk Sabah walaupun kedua terbanyak di Malaysia tetapi kerana kawasan yang luas maka dari segi demografi ianya masih dikira kekurangan penduduk.Dilaporkan juga bahawa kadar kelahiran dan pertambahan penduduk di Sabah adalah yang tertinggi di negara kita sekarang.Saya tidak pasti adakah ini berpunca daripada kehadiran begitu ramai pendatang asing yang diberitakan telah mendapat kewarganegaraan dan telah dianggap sebagai rakyat penduduk Sabah atau disebabkan kerana kadar kematian yang rendah yang berkait dengan keadaan ekonomi dan tahap kesihatan yang baik.Walaubagaimanapun timbul persoalan di sini, kenapakah terlalu ramai belia dan beliawanis Sabah yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan.Adakah di Sabah kekurangan peluang pekerjaan.Mungkinkah keadaan ekonominya semakin teruk.

Marilah kita bersama-sama menghimbau sejarah Sabah. Sabah atau North Borneo merupakan negeri yang sejak sekian lama terletak di bawah pengaruh kuasa asing.Sebelum kedatangan penjajah Eropah, Sabah adalah di bawah pengaruh Kesultanan Sulu di bahagian Pantai Timur dan Kesultanan Brunei di bahagian Pantai Barat khususnya dari Lawas sehingga ke Pandasan. Pada tahun 1881 berlaku pertukaran kuasa bilamana Sabah diletak pula di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara atau North Borneo Chartered Company. Selepas Perang Dunia Kedua, Sabah diletakkan terus di bawah kuasa penjajah Inggeris di London.Pada 16 September 1963, Sabah bersama-sama dengan Sarawak,Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu  membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia. Penyertaan Sabah dalam Gagasan Malaysia dilihat sebagai langkah selamat hasil daripada momokan British dan konco-konconya bahawa PKI bersedia membaham Sabah pada bila-bila masa sekiranya British meninggalkan wilayah Asia Tenggara.Sabah juga menerima ancaman daripada Filipina yang  menuntut Sabah sebagai wilayahnya. Propaganda inilah yang menyebabkan penduduk Sabah pada masa itu bersetuju dengan penyertaan dalam Gagasan Malaysia tetapi secara bersyarat sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian 20 Perkara. Pun begitu dari masa ke masa kerap berlaku perbezaan pendapat antara Semenanjung dengan Sabah.Ada orang berpendapat bahawa Sabah masuk Malaysia pada tahun 1963 tetapi kepada orang Sabah pula, Sabah bersama-sama dengan wilayah-wilayah yang tersebut di atas tadi membentuk negara baru bernama Malaysia. Malah saya sendiri sampai sekarang kerap ditanya bila datang ke Malaysia.Ini adalah gambaran kepada kecetekan pengetahuan sejarah.Kerap juga berlaku perbezaan pendapat sama ada Sabah sama tarafnya dengan Perlis atau Melaka.Ada yang berpendapat bahawa Sabah adalah salah satu daripada tiga entiti dalam Malaysia selain Sarawak dan Semenanjung.Oleh itu tarafnya tidaklah sama seperti Perlis atau negeri lain.  Ada juga pihak yang tidak berpuas hati dengan peraturan imigresen.Pada saya ini perkara biasa dalam mana-mana negara berbentuk 'Federation' di mana ada hak negeri dan ada hak persekutuan.Ini harus dihormati dan harus dipertahankan demi semangat 'federalisme' yang sama-sama dipersetujui dahulu.

Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960 an Sabah adalah sebuah negeri yang begitu kaya dengan hasil balak yang begitu banyak.Begitu juga hasil laut yang kaya, pulau-pulau yang indah, Gunung Kinabalu yang sangat menawan hati sesiapa yang datang berkunjung.Pendek kata Sabah boleh dianggap sebagai negeri yang terkaya dalam Gagasan Malaysia.Sekiranya penyertaan Brunei dalam Gagasan ini menjadi realiti maka kemungkinan Sabah jatuh di tempat ke 2. Saya berpendapat bahawa faktor kekayaan  dan ekonomi inilah  yang sebenarnya mendorong Tengku Abdul Rahman Putra,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan bantuan British  berusaha bersungguh-sungguh menjadikan cita-cita yang diucapkannya pada tahun 1961 di Singapura  tercapai. Beliau berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Sabah seperti Donald Stephens,Datu Mustapha  bin Datu Harun dan pemimpin-pemimpin Sarawak seperti Stephen Kalong Ningkan, James Wong, Dato' Bandar Abang Mustafa dan lain-lain lagi untuk menerima idea Gagasan Malaysia.

Walaupun adanya Perjanjian 20 Perkara atau '20 Point Agreement", tetapi lambat laun hasil daripada permainan politik yang bijak beberapa perkara yang telah dipersetujui  telah tidak dilaksanakan.Saya tidak menyalahkan pemimpin Persekutuan sepenuhnya tetapi harus juga kesalahan ini diletakkan di pundak pemimpin-pemimpin Sabah sendiri.Apakah mungkin sebuah negeri yang kaya dengan hasil balaknya, sekarang ini menjadi antara negeri yang agak ke belakang dari segi kemajuan ekonominya. Kadar pengangguran ternyata tinggi. Begitu juga kadar upah yang rendah. Di manakah silapnya. Mungkinkah peluang pekerjaan telah diambil alih oleh pendatang asing. Di Sabah jumlah pendatang asing dalam jangkaan saya 'easily' ratusan ribu .Saya sendiri tidak berasa selamat berada pada waktu senja di Kota Kinabalu.Dalam hal ini mereka yang menggelarkan diri mereka pemimpin harus berbuat sesuatu untuk mengembalikan Sabah di tempat yang sepatutnya. Buanglah fahaman bahawa masuk politik untuk mencari makan.Sebenarnya poltik bukan tempat mencari makan kerana kalau politik dijadikan sebagai wadah mencari makan maka hasilnya apa yang kita lihat dan dengar pada hari ini, rasuah dan salahguna kuasa. Pemimpin-pemimpin Persekutuan dan masyarakat luar hendaklah hendaklah peka terhadap keadaan dan masalah ini.Janganlah hanya kerana kepentingan politik jangka pendek maka yang menjadi mangsanya penduduk peribumi Sabah. Hendaklah ada usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan perbezaan pendapat dan kefahaman seperti yang disebutkan . Jadikanlah sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2010 ini sebagai pemangkin kepada perubahan yang akan berlaku.Wallahuallam

Wednesday, August 18, 2010

Pengurusan Rekod: Part 1

Mutaakhir ini istilah Pengurusan Rekod menjadi sebutan biasa di kalangan penjawat awam mahupun di kalangan anggota sektor swasta. Pengurusan Rekod dikatakan pemangkin kepada tadbir urus yang mantap. Dikatakan juga dengan adanya Pengurusan Rekod yang baik dan berkesan, sistem penyampaian atau 'delivery system' kerajaan akan menjadi lebih pantas, tepat dan natijahnya  menjimatkan masa,tenaga dan wang ringgit. Lalu apakah yang dimaksudkan dengan Pengurusan Rekod atau 'Record Management'? Berbagai tafsiran diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang Pengurusan Rekod dari dalam dan luar negeri. Antaranya ialah menguruskan atau mengadakan kawalan ke atas  sesuatu maklumat  dengan sistematik,saintifik, teratur dan ekonomikal dari peringkat pengwujudan hingga ke peringkat pelupusan. Atau dalam istilah lain ' to manage the records from cradle to the grave'. Di negara kita, rekod ditafsirkan sesuatu dokumen yang dikeluarkan oleh pejabat awam atau badan berkanun kerajaan atau perusahaan kerajaan atau orang perseorangan yang diputuskan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia sebagai bernilai arkib . Mengikut Akta Arkib Negara 2003( Akta ini menggantikan Akta Arkib Negara Malaysia No:44, 1966) rekod terdiri daripada laporan,terbitan rasmi,peta,pelan,gambar,filem,CD,DVD, kaset, surat menyurat,perjanjian dan sebagainya yang dikeluarkan untuk tujuan rasmi.

Tiga peringkat kitaran hidup rekod ialah Pengwujudan, Penggunaan/penyimpanan/pemeliharaan dan yang ketiga adalah  peringkat pelupusan. Peringkat pengwujudan melibatkan aktiviti seperti urusan surat menyurat,borang-borang,laporan dan sebagainya. Rekod-rekod ini kemudianya melalui peringkat pendaftaran, pengelasan, pengedaran, fail-memfail, penyimpanan dan  pemeliharaan.Peringkat seterusnya ialah  penyenaraian fail-fail yang tidak lagi aktif untuk tujuan pelupusan.Pelupusan bermaksud sama ada memindahkanya ke Arkib Negara Malaysia untuk simpanan kekal atau dimusnahkan atas kebenaran Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Akta. Barang siapa yang memusnah rekod-rekod kerajaan tanpa mendapat 'clearance' daripada Ketua Pengarah dianggap  melakukan kesalahan sepertimana yang termaktub di bawah  Seksyen 25, Akta Arkib Negara. Seksyen ini menyatakan 'Seseorang yang berniat untuk memusnahkan atau membenarkan pemusnahan mana-mana rekod awam hendaklah memberitahu Ketua Pengarah dalam borang yang ditetapkan akan niat untuk berbuat demikian' . Jika didapati seseorang itu telah melanggar peruntukan Akta ini maka ia boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak melebihi  RM5000 atau kedua-duanya sekali. Di dalam urusan pelupusan ini, Jadual Pelupusan Rekod atau JPR dapat membantu memudahkan kerja-kerja ini. JPR merupakan panduan yang begitu jelas kepada jabatan terlibat kerana ianya menyatakan jenis rekod dan tempoh simpanan di jabatan sebelum dipindah ke Arkib Negara atau dimusnahkan.

Sekiranya rekod-rekod yang diwujudkan di jabatan-jabatan kerajaan dan agensi lain diuruskan dengan teratur seperti yang ditentukan oleh Arkib Negara Malaysia, sudah pasti pentadbiran akan bertambah cekap dan membolehkan sistem penyampaian yang lebih berkesan. Kewujudan pengurusan rekod yang cekap dapat mengelak longgokan rekod tidak terurus yang bukan sahaja mengisi ruang yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah, tetapi juga dapat menjimatkan penggunaan peralatan seperti rak ,kabinet, alat penghawa dingin dan sebagainya.Banyak wang kerajaan dapat dijimatkan. Kecekapan akan meningkat kerana tempoh pengesanan rekod yang lebih cepat dan tepat. Dalam hal ini sudah pasti rakyat akan mendapat faedah tidak ternilai.

Tuesday, August 17, 2010

Masa Depan Bangsa Irranun

Saya tidak pasti berapa jumlah orang berketurunan Irranun di Sabah sekarang.Saya agak sekitar 50000 atau lebih.Saya kata mungkin lebih kerana ramai orang Irranun yang berkahwin campur dan anak-anak tidak lagi bertutur dalam bahasa Irranun dan  ada yang meletakkan bangsa Melayu dalam surat beranak anak mereka.Ada juga yang meletakkan keturunan buniputera Sabah sahaja. Saya menganggap mereka yang berkahwin campur ini tetap berbangsa Irranun dan anak-anak mereka tetap Irranun berdasarkan semangat Keirranunan  yang amat kuat.Ini mungkin kerana berdasarkan 'past glory' yang sangat dibanggakan oleh orang Irranun.Walaubagaimanapun biasanya apabila sesuatu bangsa itu hanya dalam jumlah yang sedikit tambahan pula tahap ekonomi dan pelajaran yang kurang memberangsangkan maka ianya mudah terikut-ikut dengan bangsa yang lebih dominan.Ini memang biasa berlaku.Di Semenanjung Malaysia misalnya orang-orang Jawa, Bugis, Kampar,Mendailing,Rawa telah mengamilasikan diri mereka dengan Bangsa Melayu yang lebih dominan dan berkuasa.Ini mungkin berdasarkan tafsiran dalam Perlembagaan yang menghuraikan takrifan Melayu itu.

Oleh kerana jumlah yang sedikit maka dari segi politik,orang Irranun bukanlah 'political force' yang mempunyai peranan yang besar.Pada saya orang Irranun kalaupun ada yang berjaya sampai ke peringkat menteri tetap juga hanya menjadi 'follower' kepada bangsa yang lebih kuat.Mereka tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk membuat sesuatu yang mendatangkan impak besar kepada bangsanya.Saya rasa di Kota Belud sendiri tidak ada perkara besar yang dapat dibawa oleh ahli-ahli politik ini yang telah mendatangkan faedah kepada orang Irranun.

Bukanlah saya bermaksud supaya orang Irranun meminggirkan bidang politik.Kalau hendak bergiat dalam politik,bergiatlah tetapi bawalah sesuatu perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Irranun.Apa yang saya ingin tekankan ialah orang Irranun hendaklah melihat kepada bidang PELAJARAN sebagai pemangkin kepada kemajuan bangsa. Ahli-ahli politik Irranun tidak kira fahaman manapun dan juga orang-orang Irranun yang menganggap diri mereka terpelajar hendaklah berganding tenaga mencari idea bagaimana memajukan bidang ini.Usah diungkit perkara lalu.Bermulalah dari sekarang.Walaupun saya berada agak jauh tetapi saya dapat melihat perkara ini dengan lebih jelas.Salah satu wadah kepada percambahan idea ini ialah mengadakan satu seminar mengenai sejarah orang Irranun. Ianya boleh dijayakan dengan kerjsama Jabatan Sejarah UMS.Kenapa pula seminar?. Apa relevannya dengan kemajuan pelajaran anak-anak Irranun? Pada saya seminar ini merupakan pencetus semangat dan 'esprit de core' kepada langkah-langkah seterusnya hasil daripada resolusi seminar ini. Demikianlah.......kita buat dulu.Saya boleh menjadi urusetia seminar.