Thursday, August 19, 2010

Sabah Dalam Malaysia

Dengan keluasan hampir 70000 km persegi, Sabah atau North Borneo pada satu ketika dahulu merupakan negeri kedua terbesar di dalam Persekutuan Malaysia selepas Sarawak.Kalau digabung kedua-dua negeri ini sudah tentu ianya lebih luas dan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.Pada masa sekarang penduduk Sabah walaupun kedua terbanyak di Malaysia tetapi kerana kawasan yang luas maka dari segi demografi ianya masih dikira kekurangan penduduk.Dilaporkan juga bahawa kadar kelahiran dan pertambahan penduduk di Sabah adalah yang tertinggi di negara kita sekarang.Saya tidak pasti adakah ini berpunca daripada kehadiran begitu ramai pendatang asing yang diberitakan telah mendapat kewarganegaraan dan telah dianggap sebagai rakyat penduduk Sabah atau disebabkan kerana kadar kematian yang rendah yang berkait dengan keadaan ekonomi dan tahap kesihatan yang baik.Walaubagaimanapun timbul persoalan di sini, kenapakah terlalu ramai belia dan beliawanis Sabah yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan.Adakah di Sabah kekurangan peluang pekerjaan.Mungkinkah keadaan ekonominya semakin teruk.

Marilah kita bersama-sama menghimbau sejarah Sabah. Sabah atau North Borneo merupakan negeri yang sejak sekian lama terletak di bawah pengaruh kuasa asing.Sebelum kedatangan penjajah Eropah, Sabah adalah di bawah pengaruh Kesultanan Sulu di bahagian Pantai Timur dan Kesultanan Brunei di bahagian Pantai Barat khususnya dari Lawas sehingga ke Pandasan. Pada tahun 1881 berlaku pertukaran kuasa bilamana Sabah diletak pula di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara atau North Borneo Chartered Company. Selepas Perang Dunia Kedua, Sabah diletakkan terus di bawah kuasa penjajah Inggeris di London.Pada 16 September 1963, Sabah bersama-sama dengan Sarawak,Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu  membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia. Penyertaan Sabah dalam Gagasan Malaysia dilihat sebagai langkah selamat hasil daripada momokan British dan konco-konconya bahawa PKI bersedia membaham Sabah pada bila-bila masa sekiranya British meninggalkan wilayah Asia Tenggara.Sabah juga menerima ancaman daripada Filipina yang  menuntut Sabah sebagai wilayahnya. Propaganda inilah yang menyebabkan penduduk Sabah pada masa itu bersetuju dengan penyertaan dalam Gagasan Malaysia tetapi secara bersyarat sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian 20 Perkara. Pun begitu dari masa ke masa kerap berlaku perbezaan pendapat antara Semenanjung dengan Sabah.Ada orang berpendapat bahawa Sabah masuk Malaysia pada tahun 1963 tetapi kepada orang Sabah pula, Sabah bersama-sama dengan wilayah-wilayah yang tersebut di atas tadi membentuk negara baru bernama Malaysia. Malah saya sendiri sampai sekarang kerap ditanya bila datang ke Malaysia.Ini adalah gambaran kepada kecetekan pengetahuan sejarah.Kerap juga berlaku perbezaan pendapat sama ada Sabah sama tarafnya dengan Perlis atau Melaka.Ada yang berpendapat bahawa Sabah adalah salah satu daripada tiga entiti dalam Malaysia selain Sarawak dan Semenanjung.Oleh itu tarafnya tidaklah sama seperti Perlis atau negeri lain.  Ada juga pihak yang tidak berpuas hati dengan peraturan imigresen.Pada saya ini perkara biasa dalam mana-mana negara berbentuk 'Federation' di mana ada hak negeri dan ada hak persekutuan.Ini harus dihormati dan harus dipertahankan demi semangat 'federalisme' yang sama-sama dipersetujui dahulu.

Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960 an Sabah adalah sebuah negeri yang begitu kaya dengan hasil balak yang begitu banyak.Begitu juga hasil laut yang kaya, pulau-pulau yang indah, Gunung Kinabalu yang sangat menawan hati sesiapa yang datang berkunjung.Pendek kata Sabah boleh dianggap sebagai negeri yang terkaya dalam Gagasan Malaysia.Sekiranya penyertaan Brunei dalam Gagasan ini menjadi realiti maka kemungkinan Sabah jatuh di tempat ke 2. Saya berpendapat bahawa faktor kekayaan  dan ekonomi inilah  yang sebenarnya mendorong Tengku Abdul Rahman Putra,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan bantuan British  berusaha bersungguh-sungguh menjadikan cita-cita yang diucapkannya pada tahun 1961 di Singapura  tercapai. Beliau berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Sabah seperti Donald Stephens,Datu Mustapha  bin Datu Harun dan pemimpin-pemimpin Sarawak seperti Stephen Kalong Ningkan, James Wong, Dato' Bandar Abang Mustafa dan lain-lain lagi untuk menerima idea Gagasan Malaysia.

Walaupun adanya Perjanjian 20 Perkara atau '20 Point Agreement", tetapi lambat laun hasil daripada permainan politik yang bijak beberapa perkara yang telah dipersetujui  telah tidak dilaksanakan.Saya tidak menyalahkan pemimpin Persekutuan sepenuhnya tetapi harus juga kesalahan ini diletakkan di pundak pemimpin-pemimpin Sabah sendiri.Apakah mungkin sebuah negeri yang kaya dengan hasil balaknya, sekarang ini menjadi antara negeri yang agak ke belakang dari segi kemajuan ekonominya. Kadar pengangguran ternyata tinggi. Begitu juga kadar upah yang rendah. Di manakah silapnya. Mungkinkah peluang pekerjaan telah diambil alih oleh pendatang asing. Di Sabah jumlah pendatang asing dalam jangkaan saya 'easily' ratusan ribu .Saya sendiri tidak berasa selamat berada pada waktu senja di Kota Kinabalu.Dalam hal ini mereka yang menggelarkan diri mereka pemimpin harus berbuat sesuatu untuk mengembalikan Sabah di tempat yang sepatutnya. Buanglah fahaman bahawa masuk politik untuk mencari makan.Sebenarnya poltik bukan tempat mencari makan kerana kalau politik dijadikan sebagai wadah mencari makan maka hasilnya apa yang kita lihat dan dengar pada hari ini, rasuah dan salahguna kuasa. Pemimpin-pemimpin Persekutuan dan masyarakat luar hendaklah hendaklah peka terhadap keadaan dan masalah ini.Janganlah hanya kerana kepentingan politik jangka pendek maka yang menjadi mangsanya penduduk peribumi Sabah. Hendaklah ada usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan perbezaan pendapat dan kefahaman seperti yang disebutkan . Jadikanlah sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2010 ini sebagai pemangkin kepada perubahan yang akan berlaku.Wallahuallam

No comments:

Post a Comment