Saturday, August 14, 2010

Zaman Persekolahan

Ketika kecil, saya bersekolah disebuah sekolah kampong dipanggil SRK Peladok dalam Daerah Kota Belud.Sekolah kayu yang daif. 95 peratus pelajar berbangsa Irranun.Saya memasuki sekolah ini pada tahun 1971.Walaupun di dalam kelas Bahasa Melayu digunakan tetapi pelajar berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Irranun.Saya bersekolah di sini sehingga ke Darjah Enam. Beberapa tahun dahulu sekolah ini dirobohkan kerana sebuah sekolah yang baru dan lebih besar didirikan di Kampong Pantai Emas dengan mengekalkan nama asal. Pada ketika itu tahap pencapaian anak-anak Irranun amat-amat menyedihkan.Tiada kemahiran dalam 3M.Saya bernasib baik kerana sebagai seorang anak ke 9 dalam adik-beradik seramai 10 orang, saya mempunyai beberapa orang abang yang begitu mengambil berat pelajaran. Seorang telah bekerja dan seorang lagi masih belajar di MCKK, sebuah sekolah tersohor di negara ini. Mereka selalu menghadiahkan saya buku sebagai bahan bacaan dan rujukan.Saya masih ingat pada ketika itu saya sudahpun membaca Hikayat Mereong Mahawangsa dan Kisah Pelayaran Munshi Abdullah. Walaupun menghadapi masalah memahami Bahasa Melayu Kelasik tetapi ianya memberikan pendedahan awal kepada minat membaca saya.Saya juga membaca majalah MCKK yang abang saya bawa pulang semasa cuti penggal ketiga. Saya kenal nama Anwar Ibrahim,Sallehuddin Hashim,Hishamuddin Rais dan beberapa orang lagi.

Tamat  Darjah Enam, ayah saya menghantar saya bersekolah di Kota Kinabalu di sebuah sekolah 'missionary ' yang cukup terkenal iaitu SMJK La Salle. Saya tinggal dengan kakak saya di rumah kerajaan di Tanjung Aru tidak jauh dari padang bola dan ragbi, juga tidak jauh dari airport. Arwah ayah walaupun tidak mempunyai pendidikan dan hanya bekerja sebagai petani dan nelayan namun mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pelajaran. Pada ketika itu pencapaian pelajaran di kalangan anak-anak Irranun terlalu rendah. Jarang yang melepasi tahap MCE. Pada ketika itu juga  abang saya yang belajar di MCKK telahpun berada di University Malaya mengambil Jurusan Ekonomi. Beliau adalah anak Irranun yang pertama memasuki menara gading. Kalau tak silap saya juga pada masa yang sama seorang anak Irranun dari Kampong Rampayan bernama Pandikar Amin Haji Mulia sedang bel;ajar di London atas perbelanjaan sendiri.Mereka inilah yang agaknya memberi semangat kepada saya untuk belajar.

Saya memasuki SMJK La Salle di Tanjung Aru,Kota Kinabalu pada tahun 1977 dan ditempatkan dalam Kelas 1D, kelas ini adalah kelas paling hujung dalam empat kelas tingkatan satu. Mungkin kerana saya lambat mendaftar maka saya ditempatkan di kelas ini. Pada saya yang berasal dari kampung dan agak pendiam, murid-murid di kelas ini terlalu nakal dan agak lemah dalam pelajaran. 50 peratus adalah berbangsa China dan selebihnya Kadazan dan Melayu. Guru kami ialah Puan Misbah Sudin, seorang guru yang tegas dan boleh mengajar dengan baik. Beliau kenal dengan adik beradik saya. Saya rasa diberi perhatian yang lebih oleh Cikgu Misbah, mungkin kerana kerana faktor kenal atau kerana saya tidak menimbulkan maslaah kepada beliau semasa di dalam kelas dan juga mungkin kerana saya agak pandai dalam pelajaran. Antara subjek yang diajar beliau ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.Walaupun pada Peperiksaan Penggal Pertama saya telah mendapat tempat pertama namun kerana bahasa Inggeris saya gagal maka saya dianggap gagal keseluruhan. Sebenarnya sekolah ini adalah sekolah lelaki sehingga ke tingkatan 5. Kelas tingkatan enam bercampur dengan pelajar perempuan kebanyakannya dari SMJK Convent, Kota Kinabalu. Pengetuanya yang terkenal pada masa itu ialah Brother Charles O Leary seorang padri katholik berasal dari Ireland. Beliau telah lama berada di Sabah tetapi masih gagal berbahasa Melayu Sabah.

Walaupun berada di kelas hujung, saya 'excel' dalam matapelajaran kecuali Bahasa Inggeris yang lemah. Pada masa itu Kelas 1A adalah yang terkenal kerana bukan sahaja murid-muridnya bijak tetapi juga mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.Rata-rata dari Sekolah Sacred Heart Kota Kinabalu.Namun oleh kerana saya juga boleh bermain bolasepak dengan baik maka saya menjadi agak terkenal dan boleh diterima oleh budak-budak elit tersebut.Memang telah lumrah permainan boasepak adalah sukan nombor satu di sekolah lelaki.Sukan lain juga tidak diabaikan.SMJK La Salle adalah sekolah  yang hebat sekurang-kurangnya di Daerah Kota Kinabalu dalam bidang sukan khususnya olahraga dan bolasepak.Siapa tidak kenal Ramjit Nairu Lal,Peter Rajah,Wong Brothers dan lain-lain.

Pada tahun 1979 saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan SRP dengan 17 unit . Pada ketika itu saya tidak lagi berada di kelas hujung lagi  tetapi dalam kelas 3C. Pada tahun seterusnya iaitu semasa berada di Tingakatan Empat, saya ditempatkan di Tingkatan Empat Aliran Sastera 1.Hanya ada dua kelas Tingkatan Empat.Kelas 4A1 ini menempatkan pelajar yang telah mendapat kelulusan baik dalam SRP.Pada tahun itu kami masih lagi memakai seluar pendek warna hijau dan kasut hitam dan baju putih sebagai uniform sekolah.Pada tahun berikutnya kami dibenarkan memakai seluar panjang hijau. Ini adalah untuk memenuhi manifesto kempen pilihanraya Marcel Jude dan kabinetnya. Tahun 1981 saya menduduki SPM dan mendapat keputusan cemerlang 16 unit.Pada masa itu tanpa 'tuition', keputusan yang saya perolehi membanggakan arwah ayah dan menjadi sifat orang tua, dia ceritakan pada semua orang kampong.Antara tahun 1982 hingga 1982 saya berada di dalam kelas Tingkatan Enam. Seingat saya hanya dua atau tiga orang murid beragama Islam dalam kelas yang majoritinya kaum Kadazan dan China.

SMJK La Salle bukan sahaja sekolah yang melahirkan tokoh-tokoh penting di Sabah seperti Datuk Mohd Noor Mansor,Joseph Pairin Kitangan, James Ongkili tetapi juga merupakan sebuah sekolah yang pertama di negara ini yang menggunakan Sistem Parlimen.Sistem ini diperkenalkan semenjak tahun 1960 an lagi sebagai satu kaedah untuk memilih ketua pelajar atau Ketua Menteri. Kempen dijalankan selama seminggu oleh team yang bertanding. 'Chief Minister nominee' akan mengetuai kempen ini. Apabila beliau menang melalui pengundian oleh semua pelajar maka beliau akan melantik barisan kabinetnya.Portfolia diwujudkan.Antaranya Kesihatan,Hal Ehwal Luar,Kewangan dan sebagainya.Calon yang kalah akan menjadi Ketua Pembangkang. Persidangan Parlimen diadakan.Perbahasan sentiasa hangat.Sebenarnya SMJK La Salle telah jauh ke hadapan dalam soal menyuburkan demokrasi dan melatih para pelajar dalam 'leadership'.Ini tidak berlaku di sekolah-sekolah lain termasuk sekolah elit di Semenanjung.Namun telah menjadi kebiasaan di negara ini semua publisiti hanya apa yang berlaku di Semenanjung sahaja. Surat khabar di Semenanjung hanya berminat kepada berita politik Sabah sahaja.

Berbalik kepada kisah saya di sekolah ini, saya agak kurang berminat dengan Sistem parlimen mungkin kerana penguasaan Bahasa Inggeris saya yang agak lemah kerana perbahasan diadakan dalam Bahasa Inggeris. Sebaliknya saya agak cemerlang dalam akedemik dan sukan. Team kami pada masa itu dikenali dengan nama 'Bulldozer'. Kami memenangi Temasya Bolasepak Interclass' serlama tiga tahun berturut-turut dari tahun 1981 hingga 1982.Ramai yang tidak suka dengan kami. Beberapa sabotaj pernah dilakukan seperti menutup pagar utama sekolah supaya kami tidak boleh keluar. Ini berlaku selepas satu perlawanan bolasepak yang kami menangi. Mereka menuduh kami bermain kasar dan berlagak walaupun ini tidak benar. Antara pemain handal kami pada masa itu ialah Mat salleh Ayup,Roy Read,Elvis Ibrahim, David dan Terrence Wong,Ronny Imbayan,Edward Wong, Benjamin Muh dan saya sendiri aka Junior.

 Saya menamatkan persekolahan pada tahun 1983. Saya berada di sekolah ini selama 7 tahun. Pada tahun 1984 saya memasuki Universiti Malaya. Apa yang saya pelajari di SMJK La Salle  adalah semangat perpaduan anatara kaum dan toleransi  yang begitu subur di Sabah berbanding ditempat lain .Saya beruntung mendapat pendidikan di sekolah yang terkenal ini. Antara guru-guru yang sentiasa dalam ingatan saya  ialah Jeniffer Liau, Mr John Wilfred,Brother Yohann,Brother Justin  Mobilik, Cikgu Suhaimi, Cikgu Zahid Md Darus  dan Cikgu Mat Shah.








No comments:

Post a Comment