Friday, August 20, 2010

Tentang Kuda

Sahabat baik saya merupakan seorang peminat dan pencinta bintang bernama KUDA. Maksud saya,  beliau aktif dalam aktiviti menunggang kuda.Buktinya beliau ada menyertai kelas menunggang kuda dan turut membuka blog khusus mengenai kuda. Pada satu ketika kami pernah berbincang mengenai kuda tetapi terus terang saya kata,pengetahuan dan pengalaman saya mengenai kuda terlalu sedikit.

Meskipun saya berasal dari daerah Kota Belud yang memang terkenal dengan ternakan kuda selain haiwan lain seperti lembu dan kerbau tetapi malangnya saya bukan berasal daripada keluarga penternak kuda.Yang kami ada hanyalah kerbau dan lembu untuk kegunaan bersawah, pengangkutan,sebagai barang hantaran untuk perkahwinan, kenduri kendara ataupun dijual apabila kesempitan wang. Untuk makluman, Kota Belud mempunyai kawasan padang ragut yang terbesar di Sabah. Ternakan-ternakan ini biasanya dibiarkan hidup bebas lepas tetapi jangan salah anggap kerana setiap ternakan itu mempunyai tuan masing-masing yang mengenali binatang ternakan mereka berdasarkan tanda ditelinga yang unik.Pada masa binatang milik mereka masih kecil, proses membuat tanda ditelinga dilakukan.Dengan menggunakan pisau tajam,telinga binatang tersebut di 'potong' atau ditindik yang biasanya sekadar satu carikan yang unik.Kalaupun binatang itu dibiarkan lepas berkeliaran tetapi tuan punya boleh mengenali berdasarkan bentuk tindikan tersebut. Di kampung saya, pada masa dahulu kekayaan adalah berdasarkan kepada jumlah binatang ternakan yang dimiliki oleh setiap keluarga. Tadi saya ada menyatakan bahawa keluarga kami bukan penternak kuda. Saya hanya merasa pengalaman menunggang kuda pada tahun 1994 ketika berada di Brastagi di  Medan di mana bersama rakan-rakan membayar beberapa ribu rupiah  resort di sana semata-mata mahu merasai pengalaman  menunggang kuda.Itulah pertama kali saya menunggang kuda. Sebab utama keluarga saya tidak melibatkan diri dalam penternakan kuda mungkin kerana kuda sering dikaitkan dengan aktiviti judi melalui acara  perlumbaan kuda yang waktu itu bukan sahaja diadakan di Kota Kinabalu tetapi juga di kampong berhampiran.Bayangkanlah acara ini diadakan pada petang jumaat!  dan garisan penamat pula tidak jauh daripada balai raya dan surau! Dalam acara ini pertaruhan wang ringgit diadakan. Saya berani kata bahawa selain orang Bajau, orang Irranun seperti orang Boyan  di Semenanjung adalah penternak kuda yang handal.Mereka juga terlibat sebagai joki. Mereka sering ditemui di Kelab Lumba Kuda Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang diadakan setiap hujung minggu. Kerap kali yang baru balik haji dan memakai ketayap pun turut menghadiri pertemuan mingguan ini.Saya tidak berani menuduh mereka berjudi tetapi kerana saya sendiri ketika zaman remaja pernah  berjumpa mereka menonton perlumbaan berkenaan.

Ramai orang salah faham apabila mengatakan  kuda Kota Belud adalah kuda padi atau 'pony' kerana kononnya saiznya kecil.Saya menafikan 'notion' ini kerana rata-rata kuda yang diternak bersaiz besar walaupun tidaklah sebesar saiz kuda dari baka Arab dan Australia tetapi cukup besar dan tinggi untuk tidak dipanggil kuda padi. Selain diternak untuk tujuan perlumbaan, kuda juga digunakan sebagai binatang pengangkutan sama ada hanya sebagai tunggangan individu  atau bersama barangan tertentu.  Saya tidaklah pernah mendengar kuda dijadikan barangan hantaran peminangan  seperti kerbau dan lembu. Oleh kerana boleh berlari pantas, kuda juga sering digunakan untuk mengejar dan menangkap binatang lain yang masih belum jinak termasuk kerbau dan lembu samaada untuk membuat tanda telinga atau untuk tujuan dibawa ke Tamu Kota Belud untuk dijual. Penunggang kuda dengan tali yang diletakkan pada sebatang buluh panjang dengan 'kepala tali' yang sedia terbuka akan mengejar binatang yang telah dikenal pasti dan dengan menggunakan kemahiran menunggang  sipenunggang mengejar dan akan memastikan 'kepala tali' itu mengenai kepala dan leher binatang yang dikejar. Selain itu, kuda juga digunakan sebagai kenderaan yang dinaiki oleh pengantin dalam upacara perkahwinan.Kuda tersebut akan dihias seluruh badan dengan kain yang berwarna-warni dan bunyi-bunyian di kaki.

Pernah satu ketika pada awal tahun 1970an berlaku satu peristiwa hebat di Hospital Daerah Kota Belud ( Bangunan lama di atas bukit yang sekarang ini telah dirobohkan) apabila seorang bapa yang marah di atas kematian anaknya datang dengan menunggang kuda dan parang terikat di pinggang untuk mencari seorang doktor yang beliau dakwa telah menyebabkan kematian anaknya. Doktor tersebut telahpun disembunyikan oleh kakitangan hospital. Pada masa itu arwah abang saya bertugas sebagai 'dresser' hospital tersebut.Keadaan jadi kecoh dan kelam kabut  namun dapat diselesaikan tanpa sebarang kejadian buruk berlaku.

Mengenai kuda sebagai sumber makanan, saya tidaklah punyai pengalaman ataupun merasai daging kuda.Saya juga tidak pernah melihat kuda disembelih apalagi melihat dagingnya. Namun begitu di Kampong berhampiran iatu kalau tidak silap di Kampong Taun Gusi diberitakan mereka seringkali  menyembelih kuda.Khabarnya daging kuda agak pejal dengan  'texture' yang besar serta liat.Agaknya disebabkan oleh sifat dan fizikalnya yang sentiasa aktif berlari dan berlumba.  Daging kuda ini tidak pula dijual di tamu atau pasar kemungkinan kerana tidak ramai peminatnya. Kepada sahabat saya peminat kuda yang tegar ini saya persilakan untuk berkunjung ke daerah Kota Belud untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuda.Saya boleh bantu dengan bersyarat....hehehe



No comments:

Post a Comment