Tuesday, May 31, 2011

Bahan Bacaan Dahulu dan Sekarang

Ketika saya berada di Sekolah Menengah sekitar tahun 70an terdapat bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Melayu yang menjadi kegemaran saya. Saya sanggup mengikat perut untuk mengumpul wang belanja sekolah semata-mata untuk membeli bahan bacaan yang saya gemari.Antara majalah dan surat khabar  yang menjadi pilihan saya ialah Sarina,Dewan Masyarakat,Akhbar Watan dan Dunia Sukan.Isi kandungan Sarina pada masa itu padat dengan topik-topik menarik,bermanfaat,berani dan demokratik. Dunia Sukan pula penuh dengan informasi bukan sahaja berita tentang jaguh-jaguh sukan tanah air bahkan juga jaguh-jaguh sukan dari serata dunia.
.
Majalah Sarina begitu berani menyiarkan berita-berita mengenai 'orang lain' tanpa ada unsur-unsur memburuk-burukkan orang itu.Berita mengenai Saudara Anwar Ibrahim yang ketika itu sedang ditahan di Penjara Kamunting menjadi titik tolak kepada 'perkenalan' saya dengan manusia bernama Anwar.Boleh dikatakan beliau menjadi pujaan saya kerana keberanian beliau menyatakan mengenai perubahan dan  melaksanakan perubahan itu. .Islamic Revivalisme ketika itu ditunjangi oleh beberapa tokoh dan gerakan dan antara yang paling popular ialah Anwar. Pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam adalah salah satu perubahan yang boleh dianggap sebagai revolusi baru dalam cara berpakaian masyarakat Islam. Bayangkan pada masa itu pelajar-pelajar hatta aliran agamapun  masih menggunakan skaf sekerat.

Saya berpendapat bahawa pada ketika  itu, majalah-majalah di negara ini tidak mempunyai 'culture of fear' yang keterlaluan.Agaknya pada masa itu disebabkan  Akta Mesin Cetak belum diperkenalkan lagi.Para editor begitu berani memberi pendapat,mengkritik dan memuji.Antara editor yang saya masih ingat ialah Sulaiman Masri dalam Majalah Dewan Masyarakat,Mohd Nor Azam, Adam Kadir dan Subky Latiff dari akhbar Watan. Pada saya, bahan-bahan bacaan seperti inilah yang membawa manfaat kepada masyarakat untuk mendapat informasi yang tulen,tidak ditapis secara keterlaluan dan seterusnya membawa pemikiran kritis dalam kalangan masyarakat khususnya orang-orang Melayu/Bumiputera.

Pada masa sekarang menjadi ibarat langit dengan bumi.Saya malas untuk mengulas kerana semua orang tahu kecuali yang bebal dan malas berfikir kerana kurang membaca. Apa yang dipaparkan sekarang adalah cerita-cerita mistik,hantu,cerita memuji dan memuja.Pemikiran masyarakat cuba dibentuk mengikut acuan yang salah dan tersasar.Manusia yang lahir adalah manusia yang 'robot', tidak kritis dan mengikut apa sahaja yang dikatakan oleh pihak tertentu.Nasib baik Amerika mencipta Komputer dan internet....i rest my case.

Monday, May 16, 2011

Janji dan Berjanjilah

Petang tadi saya ternanti-nanti juga apakah berita baik yang dijanjikan kepada warga pendidik.Sedikit sebanyak hal ini mendapat perhatian saya kerana isteri saya adalah seorang pendidik siswazah yang telah menaburkan tenaga dan bakti dalam bidang yang diminatinya selama 23 tahun tetapi masih di tangga DG44.Beliau telah dua kali mendapat anjakan  gaji kerana kecemerlangan dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Malangnya atas alasan bilangan guru yang terlalu ramai maka peluang kenaikan pangkat dan kenaikan gaji adalah terhad berbanding dengan bidang pekerjaan lain seperti PTD.Bandingannya ialah kalau guru yang mengajar selama 23 tahun berada di tahap DG44, PTD dalam jangka masa yang sama mungkin sudah berada pada kategori JUSA C atau B dan mungkin sudah bergelar Dato'.

Petang tadi untuk kesekian kalinya beberapa janji telah ditaburkan dan rata-ratanya dari segi peluang kenaikan pangkat dan sudah pasti melibatkan perjawatan baru.Bagaimana pula guru lain yang majoritinya tidak berpeluang memegang jawatan kerana sudah pasti bilangan jawatan adalah terhad.Paling banyakpun 5% daripada jumlah guru yang ada di sesebuah sekolah.Sepatutnya pihak berwajib mengkaji semula tempoh sesorang guru berada di sesuatu tahap seperti DG44 ke DG 48(KUP) yang terpaksa menunggu selama 10 tahun. Perkara ini perlulah dilihat semula dan pendekkanlah dan tetapkanlah tempoh tersebut kepada 5 tahun atau 6 tahun sahaja  misalnya.Satu lagi sepatutnya gaji diselaraskan.Misalnya kenaikan sebanyak RM500 sepatutnya dipertimbangkan selaras dengan kenaikan harga barang dan pengorbanan guru selama ini.Janganlah  bercakap bahawa faktor kewangan tidak harus menjadi  keutamaan kerana mereka yang berkata demikian  adalah manusia hipokrit ataupun berada dalam kedudukan selesa dengan adanya elaun keraian serta pelabagai kemudahan lain lantas keselesaan ini menjadikan mereka gagal menyelami masalah orang lain.Sekali lagi banyak manapun janji yang ditaburkan, yang penting adalah pelaksanaannya.

Sunday, May 15, 2011

Terlalu banyak isu yang memualkan

Telah lama saya tidak menulis malah passwordpun dah lupa, nasib baik saya mendapat bantuan anak perempuan saya yang kebetulan berada di rumah kerana cuti semester  untuk retrieve semula password tersebut.Saya tidak menulis bukan kerana tidak ada isu malah saya berani kata bahawa isu yang ada banyak berguni-guni.Yang menjadikan saya tidak menulis ialah kerana dalam berguni-guni isu yang ada terlalu banyak yang  memualkan,diada-adakan untuk memalu dan memusnahkan orang lain, isu di manipulasikan untuk mengalihkan perhatian.Saya berpendapat negara sekecil kita lebih banyak isu daripada negara sebesar Russia.Saya jemu,marah,mual,rasa nak muntah dengan hidangan isu yang putarkan hari-hari untuk menimbulkan 'kepercayaan' kepada public at large.Sudahlah.Kita mahu melihat negara kita maju dan makmur.Suburkan demokrasi dengan hujah lawan hujah,politik lawan politik bukan mencipta pelbagai pembohongan yang tak masuk akal.Negara aman akan beroleh kemakmuran dan keberkatan.

Naik pangkat, berebut naik pangkat

Semenjak dua menjak ini, isu kenaikan pangkat dalam kalangan pegawai di kantor tersohor ini kembali menjadi perbualan. Pemergian ke alam baqa seorang pegawai senior secara tiba-tiba baru-baru ini menimbulkan kerancakan desas desus ini.Apatah lagi dalam tahun ini saja beberapa orang otai akan meninggalkan jabatan ini kerana telah sampai ke saat persaraan.Tidak kurang 5 orang akan berpencen.Jadi sudah pasti Gred 52 dan 54 akan banyak yang vacant.Seorang sahabat pernah berkata ' tak  perlu berebut,banyak!'.Maksudnya bagi mereka yang layak tak perlulah nak berebut-rebut bagai monyet berebut pisang yang dibaling oleh sang parawisata  kerana kekosongan yang ada dapat menampung mereka yang layak.Tapi biasalah perangai manusia,nafsu diri sentiasa  wujud dalam diri.Banyak bisik-bisik kedengaran mengenai siapa yang akan naik dan yang patut naik. Selain kekananan, markah prestasi juga memainkan peranan besar selain faktor politik dan sedikit favouritisme.

Pada diri ini, giliran dan rezeki  akan tiba jua,InsyaAllah.Sekarang ini biarlah yang patut naik dari dulu diberi keutamaan lagipun mereka juga menunjukkan prestasi  yang baik serta telah bekerja keras untuk jabatan selama ini.Tetapi kalau tiba giliran nanti jangan ada permainan politik kerana ini pantang datuk nenek.Saya akan tentang sehingga hak saya yang sepatutnya dihormati.

Oh ya baru-baru ini saya bertemu dan berbual dengan TKP semasa sama-sama hadir dalam majlis rasmi.Dari segi ilmu beliau ini biasa-biasa saja  tetapi personaliti yng tenang,sabar dan mempunyai keyakinan tinggi serta penguasaan bahasa Inggeris yang 'boleh  tahan' menjadikan beliau  mengatasi pesaingnya.Beliau juga disukai oleh kakitangan sokongan.Namun, saya bimbang juga bagaimana beliau memimpin sebuah organisasi yang ada kalanya  agak 'volatile' kerana 'leadership quality' yang belum teruji. Namun, sebagai ketua yang dilantik,selagi beliau berlaku adil dan berpegang kepada amanah yang diberikan maka saya akan memberi sokongan tak berbelah bagi. Dalam perbualan itu, saya sempat juga melontarkan idea kepada beliau supaya memberi keadilan kepada semua dan saya tegaskan juga bahawa 'bahasa Inggeris' is paramount in our bussiness....Pegawai yang lemah dalam bahasa ini hendaklah dihantar seorangan ke negara luar atas nama attachment...

Friday, October 29, 2010

Everything is Racist

Asyik-asyik percakapan menghala kepada nasib bangsa dan ketuanan bangsa.Asyik-asyik kalau pihak yang satu lagi tidak berlembut dgn perjuangan berasaskan fi sabilillah maka kononnya bangsa akan hancur musnah.Kononnya keadaan begitu berlaku kerana perbuatan pihak tertentu yang juga sebangsa dan seagama yang sanggup menjual maruah dan bersekongkol dengan pihak harbi.Asyik-asyik menyalahkan orang lain tanpa melihat kelemahan dan perbuatan salah laku dan pengkhianatan selama ini. Rasanya kalau perjuangan fi sabilillah semua bangsa akan terbela sebaliknya kalau perjuangan berdasarkan nasionalisma sempit yang berdasarkan suku maka akan berlaku penindasan dan ketidakadilan kepada pihak lain. Sejarah menjadi hakim.

Oh ya khabarnya sejarah hendak diwajibkan.Tapi kalau hanya mengambil tafsiran sebelah pihak dan menafikan peranan pihak lain maka jawapannya...tak ke mana.

Friday, October 1, 2010

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Tempoh pentadbiran KP lama akan berakhir beberapa hari lagi selepas memegang tampuk pentadbiran selama 3 tahun. Jika tidak ada aral melintang seorang pegawai kanan wanita akan mengisi tempat yang ditinggalkan oleh bekas KP nanti.

Saya tidak mahu terbabit dalam polemik sama ada KP yang bakal bersara  ini  berjaya atau gagal selama memegang tampuk pentadbiran  yang diamanahkan oleh YDA dan Kerajaan serta rakyat keseluruhannya.  Saya hanyalah manusia kecil yang hanya berkhidmat selama lebih kurang 20 tahun berbanding dengan beliau yang telah bersama-sama dengan jabatan ini pada ketika saya berada di bangku sekolah rendah lagi . Adalah lebih molek rasanya saya mengambil kesempatan dalam ruangan ini untuk merakamkan ucapan  terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada beliau yang selama ini tidak mengenal penat lelah untuk membawa jabatan ke arah kecemerlangan sesuai dengan hasrat kerajaan 'to transform' perkhidmatan awam menjadi lebih  pantas dan cekap dalam suasana hari ini di mana rakyat sentiasa menuntut kecekapan,ketelusan dan kepantasan dalam sebarang tindakan. Istilah  delivery system, speed,passion, just do it, teliti, jangka dan pasti sentiasa menjadi mantra beliau. Pada saya, beliau telah berjaya menjadikan jabatan dikenali ramai dan menempa beberapa kejayaan dari segi perancangan,program dan aktiviti  dengan mendapat rating yang tinggi di kalangan stakeholder. Saya mendoakan beliau sentiasa sihat dan sejahtera dalam menempuh alam persaraan.

Kepada yang bakal mengambil alih, semua warga  berharap kecemerlangan jabatan akan berterusan. Pentadbiran dan tindakan berasaskan kematangan pengurusan manusia dan keadilan hendaklah sentiasa menjadi pegangan. Dalam hal ini 'wisdom' boleh membantu mengwujudkan suasana kerja yang harmoni dan condusive. Sekiranya emosi dan sifat terburu-buru tidak  dikawal  sudah pasti akan membawa kepada suasana tegang dan konfrantasi yang akhirnya akan merugikan jabatan. Semua warga hendaklah mendapat layanan sama rata dan sikap label malabel perlu dielakkan.Meskipun mengurus sesebuah organisasi bukannya mudah tetapi dengan kerjasama, sokongan dan dokongan warga yang seronok dan selesa  dan dihargai segala yang susah itu menjadi mudah. Lebih mudah lagi apabila semua yang dilakukan mendapat keredahaanNya.

Friday, September 24, 2010

Ayuh sahabat, teruslah menulis!

Sahabat saya merupakan seorang blogger yang bersemangat dan agak agresif tetapi terkawal. Tulisannya panjang-panjang dan mencakupi pelbagai topik dari politik,agama,budaya,sejarah,kritikan sosial dan sebagai pengamal poligami yang agak berjaya beliau sering tidak lupa  menulis hal-hal berkaitan dengan perkahwinan, satu topik yang paling beliau gemari. Malah, kalau diberi ruang dan peluang saya tidak hairan beliau  akhirnya akan melengkapkan sunah ini.

Banyak  rakan sepejabat yang kadang-kadang keliru dengan personaliti sahabat saya ini. Ada yang meluat dan kadangkala menyampah  terutamanya kaum ibu kerana sifat dan stylenya  yang suka bercakap pelbagai topik dengan gayanya yang agak  'provocative' dan selalunya sukar di'digest' oleh mereka yang mendengarnya. Sahabat saya ini mempunyai latar belakang 'pencarian' yang agak panjang. Beliau kini berusia separuh abad. Dari penyokong UMNO yang tegar beliau beralih kepada pendekatan agama lalu berkelanalah  beliau daripada Arqam, ABIM, Tarekat,PAS dan kini saya melihat beliau cuba menggabungkan elemen-elemen terbaik dalam pelbagai wadah tersebut untuk disesuaikan dengan imej dan tarbiah beliau yang tidak melupakan semangat Melayu yang agak kuat. Bab Melayu ini kami selalu berbeza pendapat kerana di negeri saya tidak ada kaum yang perlu diangkat sebagai 'supreme'. Semuanya sama selagi taat dan mencintai negeri yang didiami dan dalam masa yang sama meraikan kepelbagaian yang wujud serta saling hormat menghormati. Beliau juga sering membawa cerita-cerita 'kerabat' yang sealalunya saya hanya menjadi pendengar bosan dan mengantuk kerana dalam pengalaman sejarah moden hampir mustahil untuk mengembalikan sesuatu yang telah terlepas dalam tangan yang empunya hatta yang ada rekod dan dokumenpun gagal apatah lagi yang bersifat ilusi dan lagenda. Kaum Irranun dulu 'very powerfull' tetapi kini 'marginal' dan mustahil untuk mengembalikan 'past glory'.Begitu juga tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah yang pada hemat saya tidak akan berjaya  'in our life time'. Perjanjian 1909 kalau boleh dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah maka Kelantan akan menjadi negeri yang sama besar deengan Sabah dan Sarawak.


Sahabat saya ini merupakan 'ardent reader' yang mengkagumkan. Pengetahuan beliau cukup banyak. Selain seorang yang kritikal beliau juga seorang yang agak pintar berhujah. Beliau mempunyai kenalan dari kalangan yang mencintai ilmu agama, sejarah dan budaya yang ramai. Saya telah kenal beliau lebih 20 tahun dan pernah pula bertugas bersama-sama dalam satu bahagian satu ketika dulu. Saya menghormati beliau kerana kehidupan agama yang beliau amalkan Beliau berjaya membina keluarga bahagia dan anak-anak yang berjaya. Pada saya,  hanya mereka yang tidak suka berbicara  secara 'intelektual' dek keterbatasan pengetahuan disebabkan tidak pernah membaca selain Mastika, Utusan,URTV,Mangga dan cerita-cerita perbomohan  yang melabelkan beliau dengan pelbagai gelaran seperti cakap tak serupa bikin, merapu dan sebagainya. Pada saya manusia seperti beliau hendaklah diletak ditempat yang betul. Memberi taklimat kepada tetamu dan orang ramai adalah kelebihan beliau.Begitu juga 'research' dan penulisan. Hanya baru-baru ini sahaja pihak-pihak tertentu menyedari kebolehan dan kelebihan susuk ini selepas isu tulisan dalam blog beliau yang agak menggemparkan pihak-pihak tertentu. Sebenarnya pada saya tidak ada benda  yang menggemparkanpun kerana apa yang ditulis adalah perkara benar tetapi biasalah bagi orang-orang yang selama ini selesa dan seronok berada dalam kepompong perkauman, feudal dan egoistik sering bertindak balas dengan cara yang tidak intelektual. Ini ternasuklah kawan-kawan yang selama ini sering berlagak pandai dan mengaku 'dia' lah intelektual dan pakar walhal tidak ada satupun buku atau penulisan yang dihasilkan yang boleh dimanaafatkan  oleh orang ramai.

Saya memang suka berbual dan bertukar-tukar pendapat dengan sahabat ini... kalau ada kesempatan berjumpa beliau dalam beberapa hari ini saya akan membawa beberapa isu yang ditimbulkan oleh Isabella Bird lewat bukunya 'The Golden Chersonese' yang merupakan himpunan pengalaman kembara beliau di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 19. Isu 'debt slavery' di Perak adalah tajuk yang menarik.Saya percaya sahabat saya ini belum membaca buku ini. Saya tidak pula berhajat untuk meminjamkan buku kesayangan saya ini nanti bukan kerana kedekut tetapi kerana banyak buku saya dahulu hilang begitu saja apabila diberi pinjam kepada teman-teman lain.  Biasalah penyakit alpa dan lupa akan datang ketika usia menjangkau matang(tua).

p.s  Buku 'The Story of Raja Bahrin' yang saya beli di Kuching sampai sekarang tidak dikembalikan...

Friday, September 17, 2010

Sabah-Yang Indah dan yang Jengkel

Alhamdulillah kami selamat tiba di KKIA pada jam 1.30 tengah hari 10 Sept 2010 iaitu pada hari pertama Hari Raya. Abang telahpun menunggu dan seterusnya'hand over' sebuah kereta Avanza untuk kami gunakan semasa berada di Sabah.Kami terus menuju ke Kota Belud. Jalan Raya agak sibok kerana maklumlah orang ramai dalam 'mood'  berhari raya. Kami tiba di Kota Belud kira-kira jam lima petang. Malam itu rehat dan tidor awal.Cuaca malam memang dingin dan nyaman mungkin kerana jaraknya yang tidak lebih 100 KM dengan Gunung Kinabalu. Setidak-tidaknya udara dingin dari gunung turun lantas menyejukkan malam di persekitarannya. Pada keesokan harinya kami bertandang ke rumah sudara mara dan tidak lupa menziarahi makam arwah ibu dan ayah.

Dua hari di Kota Belud, kami bertolak pula ke kampong si isteri di Sipitang kira-kira 3 jam perjalanan. 3 hari di Kampong Buang Sayang benar-benar menyeronokkan isteri dan anak-anak.Saya biasalah, menonton TV dan membaca Daily Express,Borneo Bulletin dan Sabah Times just to kill the time. Surat khabar di Sabah berani dan terus terang.Surat pembaca yang kelihatannya agak 'daring' disiarkan untuk menghidupkan ruang kebebasan dan demokrasi. Hal ini tidak berlaku di tempat lain di negara ini. Sehari sebelum kembali ke 'Malaya' kami bertolak ke Kota Kinabalu dan menginap di Kinabalu Daya Hotel. Dulunya kawasan hotel ini adalah 'redlights area' tetapi sekarang telah berubah dan hotel telahpun di 'upgrade'. Memang selesa dan selamat. Petang itu ketika bosan menunggu di hotel kerana isteri dan anak-anak pergi ke Pasar Filipina, saya mengambil kesempatan berjalan-jalan di kedai-kedai lama di sekitar hotel. Saya memasuki sebuah kedai buku. Kedai buku ini menjual pelbagai jenis buku terutama buku-buku import. Saya teringat cerita mengenai seorang kawan yang 'bussiness' buku lantas saya bertanya kepada gadis kaunter ' this shop belong to  Elvis and Terrence'. Jawapannya 'yes'.Mereka adalah rakan kongsi dan saya meminta kebenaran untuk berjumpa dengan Terrence kerana Elvis berada di lokasi lain. Setelah dimaklumkan oleh kakitangan bertugas, beliau keluar dan terkejut melihat saya kerana telah 27 tahun tidak berjumpa.Terrence Wong masih seperti dulu, kurus dan tinggi maklumlah adik beradik kepada bekas pemain bolasepak kebangsaan, James Wong.Saya tidak berjumpa dengan Terrence selepas kami sama-sama menamatkan persekolahan Tingkatan Enam di SMJK La Salle, Kota Kinabalu pada tahun 1983. Kami berbual panjang di sebuah kedai kopi berhampiran.Benjamin Mu, juga bekas rakan sekelas dan sepasukan (bolasepak) menyertai kami.

Malamnya saya ke Kobe Sizzler di Warisan Square yang jaraknya tidak sampai 3KM dari hotel. Saya bertemu dengan kawan-kawan sekelas 'Form Six 1982/83 Reunion'. Dymphna,Caroline,Valerian,Anthony Mojitoh,Lourdes Mary Batin,Muh Riza Ghazali, Yong Teck Chong,Brenda Wong  dan Roy Read adalah antara yang hadir. Masing-masing bernostalgia. Memori silam dikenang semula. Kamilah antara 'batch' di seluruh negara yang terpaksa 're sit' STPM kerana soalan bocor di Semenanjung.Kami menjadi mangsa kerana perbuatan orang lain. Akibatnya 'result' kami merosot kerana mood telah hilang. Rancangan pendakian Gunong Kinabalu terpaksa dibatalkan.Walaubagaimana saya menganggap 'batch' kami berjaya- ada yang menjadi pegawai bank, Lawyer, IT Manager, Akauntan dan sebagainya.

Ahhhh memang seronok kerana berpeluang berhari raya, bertemu dengan kaum keluarga, kawan-kawan tetapi menjadi sifat saya untuk melihat juga kepada perkara yang negatif dan tidak menyeronokkan. Jalan raya di Sabah masih lagi tidak 'up to the standard'. Negeri yang dahulu kaya raya sehingga kini hanya mempunyai rangkaian jalanraya yang bukan sahaja sempit tetapi berlubang-lubang dan tidak rata.Tentunya memandu di jalanraya seperti ini berbahaya dan tidak selesa. Kenderaan  memang banyak apatah lagi pada masa sekarang kereta dari Brunei sentiasa keluar masuk. Begitu juga kereta.lori dan bas dari Sarawak. Jadi, sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin Sabah  yang budiman melihat kedhaifan ini dengan lebih serius bukannya sibok dengan retorik perkauman dan politik sempit semata-mata.

Diakui pembangunan fizikal di Kota Kinabalu memang pesat dan pantas. 1Borneo adalah gedung membeli belah yang boleh dianggap sebagai antara yang terbesar di negara ini. Namun pada saya ianya dibina di tengah-tengah kemiskinan kerana di kawasan sekitar adalah rumah-rumah kampong yang usang.Pemandangan ini tidak ubah seperti di Jakarta dan Manila.Jangan nanti gedung-gedung ini hanya mampu dikunjungi oleh golongan dan kelas tertentu sahaja manakala orang biasa hanya menjadi tukang sapu dan tukang jaga.

Pada saya, Sabah adalah negeri terindah dan tercantik di Malaysia. Gunung,pantai,laut, sungai,hutan,pulau, batu karang,hidupan laut dan masyarakat yang berbagai bangsa dan budaya menjadikan Sabah unik dan sungguh menarik.Sahabat baik saya dari Pulau Pinang pernah bergurau dengan saya, katanya 'saya tidak jealous bila kau pergi Eropah tapi saya jealous bila kau balik Sabah'. Kota Kinabalu pula adalah bandar yang tercantik di Asia Tenggara sekurang-kurangnya dari segi lokasi. Bandar ini berdepan dengan Pulau Gaya, Pulau Sapi dan Pulau Manukan. Alangkah indahnya Kota Kinabalu sekiranya sebuah jambatan dibina menghubungkan bandar ini dengan Pulau Gaya.Jaraknya hanya lebih kurang 3KM sahaja. Lebih indah lagi apabila kelak dapat dibina hotel-hotel lima bintang di Pulau Gaya yang sudah pasti boleh menarik kunjungan pelancong dari seluruh dunia.Namun ini hanya angan-angan sahaja.Ekonomi Sabah belum mampu berbuat demikian.Tumpuan harus diberi kepada pembangunan luar bandar. Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah membersihkan persekitaran Kota Kinabalu terutama di kawasan 'Water Front'yang 'dikotori' oleh spesies luar.Kota Kinabalu yang sepatutnya indah kadang-kadang kelihatan seperti Manila dan Davao City. Tidak kemas,kotor dan berdebu.

Thursday, September 2, 2010

Sejarah Dan Arkib Ibarat Irama Dan Lagu

Kewujudan institusi Arkib bermula apabila ada kesedaran untuk memelihara bahan-bahan sejarah daripada musnah daripada akibat peperangan atau malapetaka alam. Bahan-bahan sejarah ini  terdiri daripada pelbagai rekod pelbagai bentuk terutama manuskrip awal, catatan-catatan minit perjalanan pentadbiran sesebuah kerajaan dan juga pelbagai 'proceeding'. Rekod-rekod ini merupakan bahan rujukan mengenai kewujudan sesebuah kerajaan dan sekaligus menjadi bahan rujukan untuk 'survival of the goverment'. Kewujudan institusi arkib di Amerika Syarikat dimulakan hasil usaha pelbagai badan-badan atau persatuan sejarah yang mempunyai kesedaran yang amat tinggi terhadap pengumpulan,penyimpanan dan pemeliharaan bahan sejarah sebagai bukti kepada kewujudan tamadun bangsa.

Hakikat bahawa pada masa dahulu institusi arkib dianggotai oleh mereka yang terlatih dalam disiplin sejarah memang tidak dapat dinafikan.Walaubagaimanapun dari segi pentadbiran  institusi arkib  ramai juga tokoh-tokoh yang bukannya ahli sejarah yang telah memainkan peranan penting. Mereka ini terdiri daripada para pentadbir yang  mempunyai kesedaran dan kecintaan yang amat tinggi terhadap kepentingan rekod dan arkib sebagai sumber sejarah negara. Kerja-kerja mengesan bahan, memperolehi bahan dan menjelaskan kepentingannya menjadi lebih mudah dan tepat  apabila  sesorang ahli arkib itu  mempunyai pengetahuan sejarah. Disiplin ini melatih mereka membuat penyelidikan yang lebih tepat kerana kemampuan 'visualize' sesuatu peristiwa dengan peristiwa lain yang berlaku dalam pengalaman sejarah sesebuah negara. Mereka juga mampu mengaitkan satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Contohnya kajian mengenai Batu Putih tidak akan lengkap sekiranya seseorang pengkaji itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai Perjanjian Inggeris Belanda 1824, Kesultanan Johor dan Riau dan juga kewujudan Singapura.

Dalam bidang penyelidikan di arkib terutamanya yang membabitkan khidmat nasihat kepada para penyelidik samaada tempatan mahupun penyelidik luar negara, seseorang ahli arkib itu bukan sahaja harus menguasai pengetahuan mendalam mengenai 'holdings' tetapi juga mesti mempunyai ilmu mengenai  sejarah negara. Dengan adanya penguasaan dalam disiplin ini maka mereka mampu memberi khidmat nasihat yang lebih tepat  mengenai bahan-bahan yang perlu dirujuk.

Dalam hal ini kepentingan dan sumbangan  disiplin lain tidaklah dinafikan  terutama dalam zaman IT yang memerlukan sesuatu maklumat itu diurus dengan penggunaaan disiplin terkini agar ianya mudah di 'akses' dan diurus dengan  lebih teratur.Namun dari segi kerja-kerja pengesanan,pengumpulan dan perolehan sesuatu bahan tetap memerlukan ilmu dan disiplin sejarah.

Sunday, August 29, 2010

Cetusan Rasa Hati:Berdasar kepada pemerhatian dan pengalaman

Kali ini saya teringat untuk mencatatkan beberapa pandangan peribadi yang mungkin agak kontraversi kepada sesetengah orang tetapi saya fikir tidaklah sampai kepada tahap 'sedition'. Saya hanya warga biasa yang mencintai keamanan dalam negara tetapi saya juga punyai hak untuk mempunyai pandangan dan pendapat sendiri.
Perkara-perkara yang saya selalu terfikir ialah:-

1. Budaya feudal terlalu kuat dan meresap dalam masyarakat. Budaya mempersoal dan tidak bersetuju dengan boss dianggap sebagai sifat kurang ajar dan tidak menghormati orang yang lebih tua. Oleh itu kita hendaklah diam dan 'just do it'. Pada saya budaya ini adalah budaya 'robot' yang akan melahirkan masyarakat bodek,hipokrit, hanya berani bercakap di belakang-belakang, mengumpat dan sebagainya. Alhamdulillah budaya ini  jarang berlaku dalam masyarakat di tempat saya.Ini di tempat lain.

2. Budaya terlalu cerewet.Semasa saya di Sarawak beberapa tahun dahulu ramai teman-teman daripada  negeri lain yang terlalu banyak bersungut tentang beberapa perkara seperti makanan yang kononya tidak sedaplah, orang Sarawak terlalu banyak menggunakan ajinomotolah, orang Sarawak tidak menyukai orang Malayalah dan macam-macam lagi. Sewaktu saya di luar negara dulu iaitu di negara antah berantah, kawan-kawan juga bersungut kerana kononnya orang di sana kotorlah, kurang pandailah,tiada kemudahan seperti di negara sendiri dan macam-macam lagi .Jarang sekali mereka berbincang mengenai kelebihan yangdimiliki oleh negara tersebut.

3. Pada masa kini  saya dapati  dalam masyarkat kita terlalu banyak yang mendapat anugerah dan gelaran seperti  Dato', Datuk,Datuk Seri,Datuk Paduka,Tan Sri dan sebagainya.Fenomena ini telah menghasil satu kelas dalam masyarakat yang harus mendapat layanan VIP/VVIP dengan menu makanan yang  istimewa dan tidak sama dengan orang lain.Tempat duduk tidak lagi bercampur dengan orang marahen.  Pada saya fenomena ini bukan sahaja mengwujudkan jurang dalam masyarakat tetapi juga kadang-kadang akan melahirkan kumpulan yang agak bongkak dengan gelaran dan kekayaan. Kalau ini dikata akan mengwujudkan satu bentuk penghormatan dan perasaan gerun  kepada seseorang  pada saya tidak betul kerana penghormatan kepada seseorang akan lahir secara semula jadi berdasarkan sifat dan keperibadian seseorang itu. Saya berpengalaman menjadi Jawatan Kuasa Kecil Sambutan Hari Raya Malaysia di Sarawak yang pada saya program ini mempunyai tujuan luhur dan murni tepai bayangkanlah kalau orang biasa dihidang dengan makan yang 'ditapau' dan terpaksa berebut-rebut pula  dan makan sambil berdiri dan sudah pasti tidak wujud apa yang dikatakan keselesaan manakala 'the so called VIP/VVIP makan dengan menu yang 'special' di khemah dan cukup selesa dengan kerusi dan meja yang beralas cantik maka tidak hairanlah apabila keesokan harinya saya terdengar seorang wanita biasa yang berkata 'alah menteri saja makan sedap'.

4. Budaya terlalu menjaga tepi kain orang dan 'busy body'.Di taman perumahan saya, fenomena ini sering terjadi.Memang eloklah kalau budaya kampung seperti gotong royong dibawa dan diamalkan di bandar tetapi yang tidak saya bersetuju adalah menuduh  dan melabel orang yang jarang turun dan bercampur  sebagai anti sosial sedangkan orang itu mempunyai keperibadian tersendiri. Jiran saya seorang jurutera software mempunyai sikap yang pendiam dan jarang berbual tetapi sebenarnya beliau baik dan yang paling penting tidak pernah mengganggu orang lain. Apa yang berlaku ialah kawan-kawan selalu bercakap di belakang-belakang tentang si mamat ini walhal si mamat ini tidakpun pernah menganggu mereka. Pada saya setiap seorang daripada kita mempunyai hak untuk mengekalkan perwatakan sendiri  kerana kita membeli rumah dengan wang kita sendiri. Bayaran bulanan masing-masing buat.Jadi sepatutnya orang lain tidak terlalu memaksa seorang itu atas nama untuk  'memasyarakatkan' untuk keluar berbual-bual dan masak memasak. Kebebasan adalah hak peribadi.Tidak perlu ada 'moniteering' dan paksaan.

Saturday, August 28, 2010

Keadilan Dalam Mentafsir Sejarah- Pengenalan

Sejarah adalah peristiwa atau kejadian  yang telah berlaku  yang membawa impak kepada masyarakat dan negara. Sesuatu kejadian atau peristiwa tidak akan menjadi sejarah sekiranya tidak ada pihak atau sejahrawan yang mentafsirkannya sama ada dalam bentuk catatan,penulisan mahupun terbitan. Sejahrawan akan menghuraikan sebab musabab dan watak-watak yang memainkan peranan agar masyarakat menjadikan sejarah sebagai panduan dan pengajaran. Oleh kerana pentingnya peranan sejahrawan dalam mentafsirkan sesuatu peristiwa dan kejadian maka kesilapan dalam sesuatu tafsiran akan membawa kesan yang besar kepada masyarakat. Tidak harus berlaku  sejahrawan mentafsir sejarah mengikut kepentingan peribadi dan kehendak pihak tertentu kerana  mereka sebenarnya menzalimi sejarah itu sendiri. Dalam mentafsir sejarah mereka tidak seharusnya menyembunyikan sesuatu kebenaran dan tidak sepatutnya menafikan peranan pihak lain yang juga memainkan peranan dan turut mewarnai pensejahrahan itu sendiri.Pendek kata tafsiran hendaklah adil, seimbang dan mengambil kira peranan semua pihak yang perlu diambi kira.Masyarakat mempunyai hak untuk mempersoal dan  mengetahui perkara sebenar yang berlaku. Tafsiran sejarah atas kepentingan nasionalisma sempit semata-mata lazimnya akan membawa kepada konklusi yang berat sebelah.Apabila peranan dan sumbangan sesuatu pihak itu cuba disembunyikan dan dinafikan maka akan menghasilkan masyarakat yang tidak menghargai sejarah. ..anak saudara saya yang merupakan seorang pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi pernah berkata kepada saya bahawa beliau merasa bosan dengan mata pelajaran sejarah kerana bersifat 'brainwash'.

Monday, August 23, 2010

Raya-Balik Kampong

Kami sekeluarga sudah berada di perantauan hampir suku abad . Walaupun sudah memiliki rumah di Bandar Baru Bangi dan dua daripada anak lahir di Kuala Lumpur  namun saya masih menganggap diri ini berada di perantauan. Saya berkata demikian mungkin kerana ketiadaan adik beradik dan sanak saudara yang berdekatan. Mungkin  ini juga bertolak daripada perasaan tidak puas menikmati keindahanan alam negeri sendiri. Maklumlah sewaktu di bangku sekolah menengah dan ketika mula-mula keluar universiti kemampuan untuk berjalan-jalan di negeri sendiri agak terbatas oleh kekangan kewangan dan ketiadaan kenderaan.Lagipun selepas dua tahun 'grade' saya menerima tawaran bekerja di tempat orang, jadi tempoh berada di negeri yang terindah itu terlalu singkat rasanya. Isteri pula telah berada di Negeri Penyu semenjak usia muda jambu  lagi iatu dalam tingkatan 1.Bagaimanapun perasaan rindu kepada negeri sendiri ini hanya perasaan saya seorang kerana anak-anak rasanya lebih suka di sini.Mereka membesar dan ada yang lahir di sini.Loghatpun loghat  Kuala Lumpur.Isteri pula hendak menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai kampong sendiri.Maksudnya apabila anak-anak nanti telah berkahwin dan sudah mempunyai anak maka rumah di Bandar Bangi itulah yang menjadi rumah untuk mereka pulang  berkumpul sama ada semasa cuti perayaan ataupun pada bila-bila masa yang mereka suka.

Pun begitu saya tetap teringin untuk menetap di negeri kelahiran sendiri apabila pencen kelak. Hampir 30 tahun dahulu semasa belajar di Kota Kinabalu hanya sekali saya tidak pulang berhari raya di kampong kerana terlalu obsessed dengan peperiksaan SPM yang akan diadakan selepas Hari Raya. Saya tinggal seorang di rumah.Pada waktu itu  saya menetap dengan kakak. Tahun-tahun lain saya tidak pernah  'missed' beraya di kampong.Kampong saya tidaklah jauh benar,hanya 48 kilometer dari Kota Kinabalu tetapi kerana pada masa itu jalanraya melalui bukit gunong maka perjalanan yang berliku-liku akan mengambil masa lebih 2 jam.Sekarang telah ada jalan baru yang bagus dan perjalanan hanya sejam atau lebih sahaja. Apabila berkeluarga dan menetap di tempat orang boleh dikatakan pada tiap-tiap tahun kami akan pulang ke kampong.Bab inilah yang agak menarik kerana masing-masing tidak beralah.Kampong mana yang hendak didahulukan.Saya sudah tentu mahu pulang ke kampong saya sendiri. Isteri pula dalam diam-diam 'prefer' kampong sendiri.Biasanya masalah ini dapat diselesaikan kerana isteri saya terlalu matang dan sporting.Tambahan pula dia ni disukai dan diterima oleh keluarga saya.Dia tidak kekok dan merasa seronok pula.

Pada tahun ini,kami sekeluarga bercadang untuk pulang ke kampong.Dari awal kami telah bersetuju untuk balik ke kampong saya dahulu kerana biasanya adik-beradik saya berada di kampong pada hari raya pertama dan kedua sahaja.Selepas itu mereka akan pergi ke rumah mentua masing-masing pula.Adik beradik isteri pula tinggal berdekatan dan tidak adalah masalah untuk tidak dapat berjumpa dan bermaaf-maafan.Sebenarnya sudah tiga tahun  kami tidak pulang beraya ke kampong.Selepas menjadi yatim piatu ini perasaan berkobar-kobar untuk balik berhari raya ini agak berkurangan.Saya ada bertanya kawan-kawan.Mereka kata ini perkara biasa. Moga kepulangan kali ini dapat mengembalikan nostalgia lama,dapat bertemu dengan saudara-mara yang hampir tidak dicam wajah mereka.Anak-anak saudara yang dulu masih merangkak dan menginsut kini telahpun punyai anak.Dan yang paling penting dapat menziarahi kubur arwah emak,arwah bapa dan arwah bapa mertua.

Friday, August 20, 2010

Tentang Kuda

Sahabat baik saya merupakan seorang peminat dan pencinta bintang bernama KUDA. Maksud saya,  beliau aktif dalam aktiviti menunggang kuda.Buktinya beliau ada menyertai kelas menunggang kuda dan turut membuka blog khusus mengenai kuda. Pada satu ketika kami pernah berbincang mengenai kuda tetapi terus terang saya kata,pengetahuan dan pengalaman saya mengenai kuda terlalu sedikit.

Meskipun saya berasal dari daerah Kota Belud yang memang terkenal dengan ternakan kuda selain haiwan lain seperti lembu dan kerbau tetapi malangnya saya bukan berasal daripada keluarga penternak kuda.Yang kami ada hanyalah kerbau dan lembu untuk kegunaan bersawah, pengangkutan,sebagai barang hantaran untuk perkahwinan, kenduri kendara ataupun dijual apabila kesempitan wang. Untuk makluman, Kota Belud mempunyai kawasan padang ragut yang terbesar di Sabah. Ternakan-ternakan ini biasanya dibiarkan hidup bebas lepas tetapi jangan salah anggap kerana setiap ternakan itu mempunyai tuan masing-masing yang mengenali binatang ternakan mereka berdasarkan tanda ditelinga yang unik.Pada masa binatang milik mereka masih kecil, proses membuat tanda ditelinga dilakukan.Dengan menggunakan pisau tajam,telinga binatang tersebut di 'potong' atau ditindik yang biasanya sekadar satu carikan yang unik.Kalaupun binatang itu dibiarkan lepas berkeliaran tetapi tuan punya boleh mengenali berdasarkan bentuk tindikan tersebut. Di kampung saya, pada masa dahulu kekayaan adalah berdasarkan kepada jumlah binatang ternakan yang dimiliki oleh setiap keluarga. Tadi saya ada menyatakan bahawa keluarga kami bukan penternak kuda. Saya hanya merasa pengalaman menunggang kuda pada tahun 1994 ketika berada di Brastagi di  Medan di mana bersama rakan-rakan membayar beberapa ribu rupiah  resort di sana semata-mata mahu merasai pengalaman  menunggang kuda.Itulah pertama kali saya menunggang kuda. Sebab utama keluarga saya tidak melibatkan diri dalam penternakan kuda mungkin kerana kuda sering dikaitkan dengan aktiviti judi melalui acara  perlumbaan kuda yang waktu itu bukan sahaja diadakan di Kota Kinabalu tetapi juga di kampong berhampiran.Bayangkanlah acara ini diadakan pada petang jumaat!  dan garisan penamat pula tidak jauh daripada balai raya dan surau! Dalam acara ini pertaruhan wang ringgit diadakan. Saya berani kata bahawa selain orang Bajau, orang Irranun seperti orang Boyan  di Semenanjung adalah penternak kuda yang handal.Mereka juga terlibat sebagai joki. Mereka sering ditemui di Kelab Lumba Kuda Tanjung Aru di Kota Kinabalu yang diadakan setiap hujung minggu. Kerap kali yang baru balik haji dan memakai ketayap pun turut menghadiri pertemuan mingguan ini.Saya tidak berani menuduh mereka berjudi tetapi kerana saya sendiri ketika zaman remaja pernah  berjumpa mereka menonton perlumbaan berkenaan.

Ramai orang salah faham apabila mengatakan  kuda Kota Belud adalah kuda padi atau 'pony' kerana kononnya saiznya kecil.Saya menafikan 'notion' ini kerana rata-rata kuda yang diternak bersaiz besar walaupun tidaklah sebesar saiz kuda dari baka Arab dan Australia tetapi cukup besar dan tinggi untuk tidak dipanggil kuda padi. Selain diternak untuk tujuan perlumbaan, kuda juga digunakan sebagai binatang pengangkutan sama ada hanya sebagai tunggangan individu  atau bersama barangan tertentu.  Saya tidaklah pernah mendengar kuda dijadikan barangan hantaran peminangan  seperti kerbau dan lembu. Oleh kerana boleh berlari pantas, kuda juga sering digunakan untuk mengejar dan menangkap binatang lain yang masih belum jinak termasuk kerbau dan lembu samaada untuk membuat tanda telinga atau untuk tujuan dibawa ke Tamu Kota Belud untuk dijual. Penunggang kuda dengan tali yang diletakkan pada sebatang buluh panjang dengan 'kepala tali' yang sedia terbuka akan mengejar binatang yang telah dikenal pasti dan dengan menggunakan kemahiran menunggang  sipenunggang mengejar dan akan memastikan 'kepala tali' itu mengenai kepala dan leher binatang yang dikejar. Selain itu, kuda juga digunakan sebagai kenderaan yang dinaiki oleh pengantin dalam upacara perkahwinan.Kuda tersebut akan dihias seluruh badan dengan kain yang berwarna-warni dan bunyi-bunyian di kaki.

Pernah satu ketika pada awal tahun 1970an berlaku satu peristiwa hebat di Hospital Daerah Kota Belud ( Bangunan lama di atas bukit yang sekarang ini telah dirobohkan) apabila seorang bapa yang marah di atas kematian anaknya datang dengan menunggang kuda dan parang terikat di pinggang untuk mencari seorang doktor yang beliau dakwa telah menyebabkan kematian anaknya. Doktor tersebut telahpun disembunyikan oleh kakitangan hospital. Pada masa itu arwah abang saya bertugas sebagai 'dresser' hospital tersebut.Keadaan jadi kecoh dan kelam kabut  namun dapat diselesaikan tanpa sebarang kejadian buruk berlaku.

Mengenai kuda sebagai sumber makanan, saya tidaklah punyai pengalaman ataupun merasai daging kuda.Saya juga tidak pernah melihat kuda disembelih apalagi melihat dagingnya. Namun begitu di Kampong berhampiran iatu kalau tidak silap di Kampong Taun Gusi diberitakan mereka seringkali  menyembelih kuda.Khabarnya daging kuda agak pejal dengan  'texture' yang besar serta liat.Agaknya disebabkan oleh sifat dan fizikalnya yang sentiasa aktif berlari dan berlumba.  Daging kuda ini tidak pula dijual di tamu atau pasar kemungkinan kerana tidak ramai peminatnya. Kepada sahabat saya peminat kuda yang tegar ini saya persilakan untuk berkunjung ke daerah Kota Belud untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuda.Saya boleh bantu dengan bersyarat....hehehe



Thursday, August 19, 2010

Sabah Dalam Malaysia

Dengan keluasan hampir 70000 km persegi, Sabah atau North Borneo pada satu ketika dahulu merupakan negeri kedua terbesar di dalam Persekutuan Malaysia selepas Sarawak.Kalau digabung kedua-dua negeri ini sudah tentu ianya lebih luas dan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.Pada masa sekarang penduduk Sabah walaupun kedua terbanyak di Malaysia tetapi kerana kawasan yang luas maka dari segi demografi ianya masih dikira kekurangan penduduk.Dilaporkan juga bahawa kadar kelahiran dan pertambahan penduduk di Sabah adalah yang tertinggi di negara kita sekarang.Saya tidak pasti adakah ini berpunca daripada kehadiran begitu ramai pendatang asing yang diberitakan telah mendapat kewarganegaraan dan telah dianggap sebagai rakyat penduduk Sabah atau disebabkan kerana kadar kematian yang rendah yang berkait dengan keadaan ekonomi dan tahap kesihatan yang baik.Walaubagaimanapun timbul persoalan di sini, kenapakah terlalu ramai belia dan beliawanis Sabah yang berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan.Adakah di Sabah kekurangan peluang pekerjaan.Mungkinkah keadaan ekonominya semakin teruk.

Marilah kita bersama-sama menghimbau sejarah Sabah. Sabah atau North Borneo merupakan negeri yang sejak sekian lama terletak di bawah pengaruh kuasa asing.Sebelum kedatangan penjajah Eropah, Sabah adalah di bawah pengaruh Kesultanan Sulu di bahagian Pantai Timur dan Kesultanan Brunei di bahagian Pantai Barat khususnya dari Lawas sehingga ke Pandasan. Pada tahun 1881 berlaku pertukaran kuasa bilamana Sabah diletak pula di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara atau North Borneo Chartered Company. Selepas Perang Dunia Kedua, Sabah diletakkan terus di bawah kuasa penjajah Inggeris di London.Pada 16 September 1963, Sabah bersama-sama dengan Sarawak,Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu  membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia. Penyertaan Sabah dalam Gagasan Malaysia dilihat sebagai langkah selamat hasil daripada momokan British dan konco-konconya bahawa PKI bersedia membaham Sabah pada bila-bila masa sekiranya British meninggalkan wilayah Asia Tenggara.Sabah juga menerima ancaman daripada Filipina yang  menuntut Sabah sebagai wilayahnya. Propaganda inilah yang menyebabkan penduduk Sabah pada masa itu bersetuju dengan penyertaan dalam Gagasan Malaysia tetapi secara bersyarat sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian 20 Perkara. Pun begitu dari masa ke masa kerap berlaku perbezaan pendapat antara Semenanjung dengan Sabah.Ada orang berpendapat bahawa Sabah masuk Malaysia pada tahun 1963 tetapi kepada orang Sabah pula, Sabah bersama-sama dengan wilayah-wilayah yang tersebut di atas tadi membentuk negara baru bernama Malaysia. Malah saya sendiri sampai sekarang kerap ditanya bila datang ke Malaysia.Ini adalah gambaran kepada kecetekan pengetahuan sejarah.Kerap juga berlaku perbezaan pendapat sama ada Sabah sama tarafnya dengan Perlis atau Melaka.Ada yang berpendapat bahawa Sabah adalah salah satu daripada tiga entiti dalam Malaysia selain Sarawak dan Semenanjung.Oleh itu tarafnya tidaklah sama seperti Perlis atau negeri lain.  Ada juga pihak yang tidak berpuas hati dengan peraturan imigresen.Pada saya ini perkara biasa dalam mana-mana negara berbentuk 'Federation' di mana ada hak negeri dan ada hak persekutuan.Ini harus dihormati dan harus dipertahankan demi semangat 'federalisme' yang sama-sama dipersetujui dahulu.

Dalam tahun-tahun 1950an dan 1960 an Sabah adalah sebuah negeri yang begitu kaya dengan hasil balak yang begitu banyak.Begitu juga hasil laut yang kaya, pulau-pulau yang indah, Gunung Kinabalu yang sangat menawan hati sesiapa yang datang berkunjung.Pendek kata Sabah boleh dianggap sebagai negeri yang terkaya dalam Gagasan Malaysia.Sekiranya penyertaan Brunei dalam Gagasan ini menjadi realiti maka kemungkinan Sabah jatuh di tempat ke 2. Saya berpendapat bahawa faktor kekayaan  dan ekonomi inilah  yang sebenarnya mendorong Tengku Abdul Rahman Putra,Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan bantuan British  berusaha bersungguh-sungguh menjadikan cita-cita yang diucapkannya pada tahun 1961 di Singapura  tercapai. Beliau berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin Sabah seperti Donald Stephens,Datu Mustapha  bin Datu Harun dan pemimpin-pemimpin Sarawak seperti Stephen Kalong Ningkan, James Wong, Dato' Bandar Abang Mustafa dan lain-lain lagi untuk menerima idea Gagasan Malaysia.

Walaupun adanya Perjanjian 20 Perkara atau '20 Point Agreement", tetapi lambat laun hasil daripada permainan politik yang bijak beberapa perkara yang telah dipersetujui  telah tidak dilaksanakan.Saya tidak menyalahkan pemimpin Persekutuan sepenuhnya tetapi harus juga kesalahan ini diletakkan di pundak pemimpin-pemimpin Sabah sendiri.Apakah mungkin sebuah negeri yang kaya dengan hasil balaknya, sekarang ini menjadi antara negeri yang agak ke belakang dari segi kemajuan ekonominya. Kadar pengangguran ternyata tinggi. Begitu juga kadar upah yang rendah. Di manakah silapnya. Mungkinkah peluang pekerjaan telah diambil alih oleh pendatang asing. Di Sabah jumlah pendatang asing dalam jangkaan saya 'easily' ratusan ribu .Saya sendiri tidak berasa selamat berada pada waktu senja di Kota Kinabalu.Dalam hal ini mereka yang menggelarkan diri mereka pemimpin harus berbuat sesuatu untuk mengembalikan Sabah di tempat yang sepatutnya. Buanglah fahaman bahawa masuk politik untuk mencari makan.Sebenarnya poltik bukan tempat mencari makan kerana kalau politik dijadikan sebagai wadah mencari makan maka hasilnya apa yang kita lihat dan dengar pada hari ini, rasuah dan salahguna kuasa. Pemimpin-pemimpin Persekutuan dan masyarakat luar hendaklah hendaklah peka terhadap keadaan dan masalah ini.Janganlah hanya kerana kepentingan politik jangka pendek maka yang menjadi mangsanya penduduk peribumi Sabah. Hendaklah ada usaha pelbagai pihak untuk mengurangkan perbezaan pendapat dan kefahaman seperti yang disebutkan . Jadikanlah sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2010 ini sebagai pemangkin kepada perubahan yang akan berlaku.Wallahuallam

Wednesday, August 18, 2010

Pengurusan Rekod: Part 1

Mutaakhir ini istilah Pengurusan Rekod menjadi sebutan biasa di kalangan penjawat awam mahupun di kalangan anggota sektor swasta. Pengurusan Rekod dikatakan pemangkin kepada tadbir urus yang mantap. Dikatakan juga dengan adanya Pengurusan Rekod yang baik dan berkesan, sistem penyampaian atau 'delivery system' kerajaan akan menjadi lebih pantas, tepat dan natijahnya  menjimatkan masa,tenaga dan wang ringgit. Lalu apakah yang dimaksudkan dengan Pengurusan Rekod atau 'Record Management'? Berbagai tafsiran diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang Pengurusan Rekod dari dalam dan luar negeri. Antaranya ialah menguruskan atau mengadakan kawalan ke atas  sesuatu maklumat  dengan sistematik,saintifik, teratur dan ekonomikal dari peringkat pengwujudan hingga ke peringkat pelupusan. Atau dalam istilah lain ' to manage the records from cradle to the grave'. Di negara kita, rekod ditafsirkan sesuatu dokumen yang dikeluarkan oleh pejabat awam atau badan berkanun kerajaan atau perusahaan kerajaan atau orang perseorangan yang diputuskan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia sebagai bernilai arkib . Mengikut Akta Arkib Negara 2003( Akta ini menggantikan Akta Arkib Negara Malaysia No:44, 1966) rekod terdiri daripada laporan,terbitan rasmi,peta,pelan,gambar,filem,CD,DVD, kaset, surat menyurat,perjanjian dan sebagainya yang dikeluarkan untuk tujuan rasmi.

Tiga peringkat kitaran hidup rekod ialah Pengwujudan, Penggunaan/penyimpanan/pemeliharaan dan yang ketiga adalah  peringkat pelupusan. Peringkat pengwujudan melibatkan aktiviti seperti urusan surat menyurat,borang-borang,laporan dan sebagainya. Rekod-rekod ini kemudianya melalui peringkat pendaftaran, pengelasan, pengedaran, fail-memfail, penyimpanan dan  pemeliharaan.Peringkat seterusnya ialah  penyenaraian fail-fail yang tidak lagi aktif untuk tujuan pelupusan.Pelupusan bermaksud sama ada memindahkanya ke Arkib Negara Malaysia untuk simpanan kekal atau dimusnahkan atas kebenaran Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Akta. Barang siapa yang memusnah rekod-rekod kerajaan tanpa mendapat 'clearance' daripada Ketua Pengarah dianggap  melakukan kesalahan sepertimana yang termaktub di bawah  Seksyen 25, Akta Arkib Negara. Seksyen ini menyatakan 'Seseorang yang berniat untuk memusnahkan atau membenarkan pemusnahan mana-mana rekod awam hendaklah memberitahu Ketua Pengarah dalam borang yang ditetapkan akan niat untuk berbuat demikian' . Jika didapati seseorang itu telah melanggar peruntukan Akta ini maka ia boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak melebihi  RM5000 atau kedua-duanya sekali. Di dalam urusan pelupusan ini, Jadual Pelupusan Rekod atau JPR dapat membantu memudahkan kerja-kerja ini. JPR merupakan panduan yang begitu jelas kepada jabatan terlibat kerana ianya menyatakan jenis rekod dan tempoh simpanan di jabatan sebelum dipindah ke Arkib Negara atau dimusnahkan.

Sekiranya rekod-rekod yang diwujudkan di jabatan-jabatan kerajaan dan agensi lain diuruskan dengan teratur seperti yang ditentukan oleh Arkib Negara Malaysia, sudah pasti pentadbiran akan bertambah cekap dan membolehkan sistem penyampaian yang lebih berkesan. Kewujudan pengurusan rekod yang cekap dapat mengelak longgokan rekod tidak terurus yang bukan sahaja mengisi ruang yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah, tetapi juga dapat menjimatkan penggunaan peralatan seperti rak ,kabinet, alat penghawa dingin dan sebagainya.Banyak wang kerajaan dapat dijimatkan. Kecekapan akan meningkat kerana tempoh pengesanan rekod yang lebih cepat dan tepat. Dalam hal ini sudah pasti rakyat akan mendapat faedah tidak ternilai.

Tuesday, August 17, 2010

Masa Depan Bangsa Irranun

Saya tidak pasti berapa jumlah orang berketurunan Irranun di Sabah sekarang.Saya agak sekitar 50000 atau lebih.Saya kata mungkin lebih kerana ramai orang Irranun yang berkahwin campur dan anak-anak tidak lagi bertutur dalam bahasa Irranun dan  ada yang meletakkan bangsa Melayu dalam surat beranak anak mereka.Ada juga yang meletakkan keturunan buniputera Sabah sahaja. Saya menganggap mereka yang berkahwin campur ini tetap berbangsa Irranun dan anak-anak mereka tetap Irranun berdasarkan semangat Keirranunan  yang amat kuat.Ini mungkin kerana berdasarkan 'past glory' yang sangat dibanggakan oleh orang Irranun.Walaubagaimanapun biasanya apabila sesuatu bangsa itu hanya dalam jumlah yang sedikit tambahan pula tahap ekonomi dan pelajaran yang kurang memberangsangkan maka ianya mudah terikut-ikut dengan bangsa yang lebih dominan.Ini memang biasa berlaku.Di Semenanjung Malaysia misalnya orang-orang Jawa, Bugis, Kampar,Mendailing,Rawa telah mengamilasikan diri mereka dengan Bangsa Melayu yang lebih dominan dan berkuasa.Ini mungkin berdasarkan tafsiran dalam Perlembagaan yang menghuraikan takrifan Melayu itu.

Oleh kerana jumlah yang sedikit maka dari segi politik,orang Irranun bukanlah 'political force' yang mempunyai peranan yang besar.Pada saya orang Irranun kalaupun ada yang berjaya sampai ke peringkat menteri tetap juga hanya menjadi 'follower' kepada bangsa yang lebih kuat.Mereka tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk membuat sesuatu yang mendatangkan impak besar kepada bangsanya.Saya rasa di Kota Belud sendiri tidak ada perkara besar yang dapat dibawa oleh ahli-ahli politik ini yang telah mendatangkan faedah kepada orang Irranun.

Bukanlah saya bermaksud supaya orang Irranun meminggirkan bidang politik.Kalau hendak bergiat dalam politik,bergiatlah tetapi bawalah sesuatu perkara yang memberi faedah kepada masyarakat Irranun.Apa yang saya ingin tekankan ialah orang Irranun hendaklah melihat kepada bidang PELAJARAN sebagai pemangkin kepada kemajuan bangsa. Ahli-ahli politik Irranun tidak kira fahaman manapun dan juga orang-orang Irranun yang menganggap diri mereka terpelajar hendaklah berganding tenaga mencari idea bagaimana memajukan bidang ini.Usah diungkit perkara lalu.Bermulalah dari sekarang.Walaupun saya berada agak jauh tetapi saya dapat melihat perkara ini dengan lebih jelas.Salah satu wadah kepada percambahan idea ini ialah mengadakan satu seminar mengenai sejarah orang Irranun. Ianya boleh dijayakan dengan kerjsama Jabatan Sejarah UMS.Kenapa pula seminar?. Apa relevannya dengan kemajuan pelajaran anak-anak Irranun? Pada saya seminar ini merupakan pencetus semangat dan 'esprit de core' kepada langkah-langkah seterusnya hasil daripada resolusi seminar ini. Demikianlah.......kita buat dulu.Saya boleh menjadi urusetia seminar.

Monday, August 16, 2010

Bukan semua orang mampu menjadi Ketua Pengarah yang baik

Alhamdulillah pagi tadi kami menerima kunjungan KP kami yang akan bersara tidak berapa lama lagi.Perjumpaan diadakan. Amanat diberikan. Ternyata beliau seorang ketua yang mempunyai visi yang hebat tetapi kadang-kadang begitu susah untuk orang bawah untuk menggarap idea dan seterusnya melaksanakan idea beliau. Walaupun ada juga yang saya kurang bersetuju tetapi sebagai sebuah pasukan, kita hendaklah bertindak sebagai sebuah pasukan dan mesti profesional. Kita mesti dapat 'adapt and absorb'. Entahlah sayapun buntu juga siapakah tokoh yang layak mengisi tempat beliau.Pegawai yang ada nampak gayanya kurang berkarisma dan lebih kepada pengurusan mikro dan kadang-kadang penuh dengan emosi. Bagaimanapun saya berpegang kepada hukum agama bahawa semua yang dicipta Allah memiliki kebolehan masing-masing.Patah tumbuh hilang berganti. Pada hemat saya kalau pegawai yang ada sedar akan kelemahan diri yang kelak boleh memudaratkan jabatan,nasihat saya tidak perlulah bercita-cita hendak memegang jawatan KP. Bagi peluang kepada yang berkebolehan dan mempunyai kekuatan mental untuk menguruskan organisasi.  Jujurlah pada diri masing-masing. Pangkat bukanlah segala-galanya.Yang penting masa depan jabatan.

Saturday, August 14, 2010

Zaman Persekolahan

Ketika kecil, saya bersekolah disebuah sekolah kampong dipanggil SRK Peladok dalam Daerah Kota Belud.Sekolah kayu yang daif. 95 peratus pelajar berbangsa Irranun.Saya memasuki sekolah ini pada tahun 1971.Walaupun di dalam kelas Bahasa Melayu digunakan tetapi pelajar berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Irranun.Saya bersekolah di sini sehingga ke Darjah Enam. Beberapa tahun dahulu sekolah ini dirobohkan kerana sebuah sekolah yang baru dan lebih besar didirikan di Kampong Pantai Emas dengan mengekalkan nama asal. Pada ketika itu tahap pencapaian anak-anak Irranun amat-amat menyedihkan.Tiada kemahiran dalam 3M.Saya bernasib baik kerana sebagai seorang anak ke 9 dalam adik-beradik seramai 10 orang, saya mempunyai beberapa orang abang yang begitu mengambil berat pelajaran. Seorang telah bekerja dan seorang lagi masih belajar di MCKK, sebuah sekolah tersohor di negara ini. Mereka selalu menghadiahkan saya buku sebagai bahan bacaan dan rujukan.Saya masih ingat pada ketika itu saya sudahpun membaca Hikayat Mereong Mahawangsa dan Kisah Pelayaran Munshi Abdullah. Walaupun menghadapi masalah memahami Bahasa Melayu Kelasik tetapi ianya memberikan pendedahan awal kepada minat membaca saya.Saya juga membaca majalah MCKK yang abang saya bawa pulang semasa cuti penggal ketiga. Saya kenal nama Anwar Ibrahim,Sallehuddin Hashim,Hishamuddin Rais dan beberapa orang lagi.

Tamat  Darjah Enam, ayah saya menghantar saya bersekolah di Kota Kinabalu di sebuah sekolah 'missionary ' yang cukup terkenal iaitu SMJK La Salle. Saya tinggal dengan kakak saya di rumah kerajaan di Tanjung Aru tidak jauh dari padang bola dan ragbi, juga tidak jauh dari airport. Arwah ayah walaupun tidak mempunyai pendidikan dan hanya bekerja sebagai petani dan nelayan namun mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan pelajaran. Pada ketika itu pencapaian pelajaran di kalangan anak-anak Irranun terlalu rendah. Jarang yang melepasi tahap MCE. Pada ketika itu juga  abang saya yang belajar di MCKK telahpun berada di University Malaya mengambil Jurusan Ekonomi. Beliau adalah anak Irranun yang pertama memasuki menara gading. Kalau tak silap saya juga pada masa yang sama seorang anak Irranun dari Kampong Rampayan bernama Pandikar Amin Haji Mulia sedang bel;ajar di London atas perbelanjaan sendiri.Mereka inilah yang agaknya memberi semangat kepada saya untuk belajar.

Saya memasuki SMJK La Salle di Tanjung Aru,Kota Kinabalu pada tahun 1977 dan ditempatkan dalam Kelas 1D, kelas ini adalah kelas paling hujung dalam empat kelas tingkatan satu. Mungkin kerana saya lambat mendaftar maka saya ditempatkan di kelas ini. Pada saya yang berasal dari kampung dan agak pendiam, murid-murid di kelas ini terlalu nakal dan agak lemah dalam pelajaran. 50 peratus adalah berbangsa China dan selebihnya Kadazan dan Melayu. Guru kami ialah Puan Misbah Sudin, seorang guru yang tegas dan boleh mengajar dengan baik. Beliau kenal dengan adik beradik saya. Saya rasa diberi perhatian yang lebih oleh Cikgu Misbah, mungkin kerana kerana faktor kenal atau kerana saya tidak menimbulkan maslaah kepada beliau semasa di dalam kelas dan juga mungkin kerana saya agak pandai dalam pelajaran. Antara subjek yang diajar beliau ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.Walaupun pada Peperiksaan Penggal Pertama saya telah mendapat tempat pertama namun kerana bahasa Inggeris saya gagal maka saya dianggap gagal keseluruhan. Sebenarnya sekolah ini adalah sekolah lelaki sehingga ke tingkatan 5. Kelas tingkatan enam bercampur dengan pelajar perempuan kebanyakannya dari SMJK Convent, Kota Kinabalu. Pengetuanya yang terkenal pada masa itu ialah Brother Charles O Leary seorang padri katholik berasal dari Ireland. Beliau telah lama berada di Sabah tetapi masih gagal berbahasa Melayu Sabah.

Walaupun berada di kelas hujung, saya 'excel' dalam matapelajaran kecuali Bahasa Inggeris yang lemah. Pada masa itu Kelas 1A adalah yang terkenal kerana bukan sahaja murid-muridnya bijak tetapi juga mereka berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.Rata-rata dari Sekolah Sacred Heart Kota Kinabalu.Namun oleh kerana saya juga boleh bermain bolasepak dengan baik maka saya menjadi agak terkenal dan boleh diterima oleh budak-budak elit tersebut.Memang telah lumrah permainan boasepak adalah sukan nombor satu di sekolah lelaki.Sukan lain juga tidak diabaikan.SMJK La Salle adalah sekolah  yang hebat sekurang-kurangnya di Daerah Kota Kinabalu dalam bidang sukan khususnya olahraga dan bolasepak.Siapa tidak kenal Ramjit Nairu Lal,Peter Rajah,Wong Brothers dan lain-lain.

Pada tahun 1979 saya telah mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan SRP dengan 17 unit . Pada ketika itu saya tidak lagi berada di kelas hujung lagi  tetapi dalam kelas 3C. Pada tahun seterusnya iaitu semasa berada di Tingakatan Empat, saya ditempatkan di Tingkatan Empat Aliran Sastera 1.Hanya ada dua kelas Tingkatan Empat.Kelas 4A1 ini menempatkan pelajar yang telah mendapat kelulusan baik dalam SRP.Pada tahun itu kami masih lagi memakai seluar pendek warna hijau dan kasut hitam dan baju putih sebagai uniform sekolah.Pada tahun berikutnya kami dibenarkan memakai seluar panjang hijau. Ini adalah untuk memenuhi manifesto kempen pilihanraya Marcel Jude dan kabinetnya. Tahun 1981 saya menduduki SPM dan mendapat keputusan cemerlang 16 unit.Pada masa itu tanpa 'tuition', keputusan yang saya perolehi membanggakan arwah ayah dan menjadi sifat orang tua, dia ceritakan pada semua orang kampong.Antara tahun 1982 hingga 1982 saya berada di dalam kelas Tingkatan Enam. Seingat saya hanya dua atau tiga orang murid beragama Islam dalam kelas yang majoritinya kaum Kadazan dan China.

SMJK La Salle bukan sahaja sekolah yang melahirkan tokoh-tokoh penting di Sabah seperti Datuk Mohd Noor Mansor,Joseph Pairin Kitangan, James Ongkili tetapi juga merupakan sebuah sekolah yang pertama di negara ini yang menggunakan Sistem Parlimen.Sistem ini diperkenalkan semenjak tahun 1960 an lagi sebagai satu kaedah untuk memilih ketua pelajar atau Ketua Menteri. Kempen dijalankan selama seminggu oleh team yang bertanding. 'Chief Minister nominee' akan mengetuai kempen ini. Apabila beliau menang melalui pengundian oleh semua pelajar maka beliau akan melantik barisan kabinetnya.Portfolia diwujudkan.Antaranya Kesihatan,Hal Ehwal Luar,Kewangan dan sebagainya.Calon yang kalah akan menjadi Ketua Pembangkang. Persidangan Parlimen diadakan.Perbahasan sentiasa hangat.Sebenarnya SMJK La Salle telah jauh ke hadapan dalam soal menyuburkan demokrasi dan melatih para pelajar dalam 'leadership'.Ini tidak berlaku di sekolah-sekolah lain termasuk sekolah elit di Semenanjung.Namun telah menjadi kebiasaan di negara ini semua publisiti hanya apa yang berlaku di Semenanjung sahaja. Surat khabar di Semenanjung hanya berminat kepada berita politik Sabah sahaja.

Berbalik kepada kisah saya di sekolah ini, saya agak kurang berminat dengan Sistem parlimen mungkin kerana penguasaan Bahasa Inggeris saya yang agak lemah kerana perbahasan diadakan dalam Bahasa Inggeris. Sebaliknya saya agak cemerlang dalam akedemik dan sukan. Team kami pada masa itu dikenali dengan nama 'Bulldozer'. Kami memenangi Temasya Bolasepak Interclass' serlama tiga tahun berturut-turut dari tahun 1981 hingga 1982.Ramai yang tidak suka dengan kami. Beberapa sabotaj pernah dilakukan seperti menutup pagar utama sekolah supaya kami tidak boleh keluar. Ini berlaku selepas satu perlawanan bolasepak yang kami menangi. Mereka menuduh kami bermain kasar dan berlagak walaupun ini tidak benar. Antara pemain handal kami pada masa itu ialah Mat salleh Ayup,Roy Read,Elvis Ibrahim, David dan Terrence Wong,Ronny Imbayan,Edward Wong, Benjamin Muh dan saya sendiri aka Junior.

 Saya menamatkan persekolahan pada tahun 1983. Saya berada di sekolah ini selama 7 tahun. Pada tahun 1984 saya memasuki Universiti Malaya. Apa yang saya pelajari di SMJK La Salle  adalah semangat perpaduan anatara kaum dan toleransi  yang begitu subur di Sabah berbanding ditempat lain .Saya beruntung mendapat pendidikan di sekolah yang terkenal ini. Antara guru-guru yang sentiasa dalam ingatan saya  ialah Jeniffer Liau, Mr John Wilfred,Brother Yohann,Brother Justin  Mobilik, Cikgu Suhaimi, Cikgu Zahid Md Darus  dan Cikgu Mat Shah.








Wednesday, August 11, 2010

3S

Ketika saya 'grade' daripada UM dalam tahun 1987 keadaan ekonomi negara sedang gawat.Ramai siswazah menganggur.Yang bernasib baik telah diambil untuk bekerja di bawah SKS atau Skim Khas Siswazah dimana mereka ini akan ditempatkan di jabatan-jabatan kerajaan dengan menjalankan kerja setaraf kerani atau lulusan SPM.Saya tidak terlibat dalam skim ini tetapi saya, kerana pernah bekerja pada tahun 1984 dengan Jabatan Kerja Raya di Kota Kinabalu dan mendapat taraf 'Probation', maka apabila saya kembali ke Sabah; saya telah ditempatkan semula sebagai kerani di Jabatan Bendahari Negeri dan selepas itu saya ditukar ke Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan,juga sebagai kerani.Saya masih ingat pada ketika itu jabatan selalu menerima kedatangan Mokhtar Radin yang sekarang ini YB yang agak kecoh.Saya tidak tahu tujuan sebenar beliau datang tetapi kerana dia terus berjumpa dengan Tuan Pengarah Encik Shah Hime Nazir, maka saya agak tentulah berkaitan dengan belia. Juga mungkin beliau adalah salah seorang kontraktor kelas F yang datang melobi kerja-kerja kontrak atau pinjaman belia.

Pada hujung tahun 1989,ketika mana anak sudah bertambah jadi dua,  namun kerja yang setaraf dengan kelayakan belum juga dapat-dapat, tiba-tiba  saya mendapat tawaran kerja sebagai Pegawai Kumpulan A di salah sebuah jabatan kerajaan  di Kuala Lumpur .Bukan tujuan saya untuk mencerita jerih payah ketika mula-mula berada dalam alam pekerjaan tetapi saya sekadar berkongsi pengalaman bekerja dan berada dalam suasana yang berbeza dan bergaul dengan masyarakat tempatan yang berbeza.

Pada tahun 1997 sehingga 2004, saya ditempatkan di Kuching,Sarawak. Nah! inilah yang saya maksudkan dengan 3S iatu Sabah,Semenanjung dan Sarawak. Di Sabah,  masyarakatnya agak terbuka.Perkahwinan campur adalah lumrah.Saya boleh bergaul dengan bebas tanpa prejudice dengan kawan-kawan berbangsa Cina dan Kadazan  sehingga sekarang. Di Semenanjung, masyarakatnya agak tertutup dan cerewet dan kadang-kadang bersikap feudal. Polarisasi agak ketara.Mungkin ini ada kaitan dengan pengalaman sejarah. Walaubagaimanapun untuk menjadi seorang yang memahami  dan beriman dengan agamanya maka di Semenanjunglah tempatnya berbanding dengan Sabah dan Sarawak yang kadang-kadang liberal. Ini mungkin berpunca daripada ketiadaan sistem pengajian Islam yang teratur. Di Semenanjung, Ustaz dan surau begitu banyak tinggal lagi rajin atau malas.Di Sarawak pula, keadaan hampir sama dengan Sabah tetapi sedikit berbeza dari segi komposisi kaum di mana kaum China agak dominan baik dari sudut ekonomi mahupun 'lagak' mereka. Ini juga berkaitan dengan faktor sejarah. Pengalaman di rantau orang selama lebih dua puloh tahun banyak memberi pengalaman dan pengetahuan. saya tahu baik buruknya.Saya memahami perangai masyarakatnya. Saya tahu kelemahan dan kelebihan masing-masing.Pencen nanti InsyaAllah saya akan kembali ke Sabah. Negeri tercantik dan terindah.Masyarakat toleran dan mesra.

Arkib dan Rekod

Arkib telah wujud semenjak zaman tamadun Yunani lagi.Arkib atau 'archivum' adalah istilah yang merujuk kepada kaedah penyimpanan dokumen dan manuskrip berharga yang ketika itu menjadikan gua sebagai tempat penyimpanan.Revolusi Perancis membawa kerosakan besar terutama kepada rekod kerajaan.Ini membawa kepada kesedaran untuk menyimpan dan memelihara bahan-bahan rekod secara teratur demi 'survival of the goverment'. Dalam masa yang lebih kurang sama, di Amerika Syarikat dan di negara-negara lain seperti England, Jerman dan Austria juga wujud kesedaran yang sama.Hasilnya institut Arkib dalam bentuk yang teratur dengan bangunan yang mempunyai spesifikasi tertentu telah dibangunkan.Di sebelah Asia, India adalah salah sebuah negara awal yang menubuhkan institusi Arkib. Arkib menjadi tempat menyimpan dan memelihara atau dalam istilah lain 'custodian of national heritage'. Bahan-bahan yang disimpan dan dipelihara seperti fail,peta,pelan,manuskrip, 'private letters' adalah yang telah melalui tapisan 'appraisal' dan mempunyai nilai kekal.

Di negara kita,Perang Dunai Ke 2 dan sedikit sebanyak kekacauan pada zaman dharurat telah membawa kepada kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan rekod. Oleh itu, apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, salah sebuah jabatan awal yang ditubuhkan ialah 'Public Record Office' yang kemudiannya dinamakan sebagai Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963. Akta Arkib Negara 1966 menjadi 'guideline' untuk pentadbiran dan bidang kuasa Arkib Negara. Pada tahun 2003 Akta baru yang lebih 'comprehensive' telah diluluskan oleh Parlimen.Hari ini dengan pegawai dan kakitangan melebihi 600 orang di seluruh negara dan beberapa cawangan negeri yang telah ditubuhkan semenjak tahun 1970an lagi, Arkib Negara telah muncul sebagai sebuah jabatan yang penting berperanan sebagai pusat penyelidikan terunggul. Arkib Negara adalah lambang kewujudan sesebuah negara. Berbanggalah kita kerana dapat berkhidmat dengan institiut yang hebat ini.